19 Ogos 2024, 13:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat dunia kini acap kali dikejutkan dengan kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri. Kes ini bukan sahaja melibatkan golongan yang berusia, bahkan juga golongan remaja.

Dianggarkan pada setiap 40 saat, satu nyawa akan terkorban akibat membunuh diri. Statistik tersebut sudah tentu membimbangkan, apatah lagi jika yang melakukannya ialah orang Islam. Islam melarang umatnya membunuh diri, malah tindakan tersebut amat dimurkai dan dibenci oleh Allah SWT. Namun begitu, kita tidak boleh menjatuhkan hukuman dengan membuta tuli kepada mereka yang membunuh diri tanpa mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkara atau faktor yang mendorong seseorang itu mengambil keputusan untuk mati dengan tangan sendiri.

Secara umum, perbuatan membunuh diri dilakukan oleh seseorang dengan sengaja dan secara sedar dengan tujuan untuk mengakhiri kehidupannya sendiri. Dalam kebanyakan kes, seseorang individu mengambil keputusan untuk membunuh diri disebabkan ketidakmampuannya untuk menghadapi tekanan hidup. Membunuh diri didefinisikan oleh kebanyakan pengkaji merangkumi lima aspek, iaitu idea untuk membunuh diri; merancang untuk membunuh diri; mencederakan diri sendiri (niat untuk mati tidak begitu pasti); cubaan membunuh diri; dan membunuh diri. Isu bunuh diri bukan hanya berlaku di negara yang mundur atau membangun, tetapi juga berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat.

Berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa terdapat lebih daripada 703 000 kematian akibat membunuh diri pada setiap tahun di seluruh dunia. Malahan, membunuh diri merupakan satu daripada 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur antara 15 tahun hingga 29 tahun. Dapatan turut menunjukkan bahawa kematian kerana membunuh diri dalam kalangan lelaki tiga kali hingga empat kali lebih tinggi berbanding dengan perempuan walaupun sebenarnya cubaan membunuh diri lebih tinggi dalam kalangan perempuan.

Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi Kedah Medical Centre (KMC), Dr. Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud menyatakan bahawa isu bunuh diri kini bukan lagi menjadi kes terpencil, sebaliknya masyarakat perlu bercakap dengan lebih terbuka tentang kesihatan mental dan bunuh diri agar lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.

Umat Islam wajib percaya bahawa setiap ujian dan dugaan yang datang adalah sebagai muhasabah diri dan tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.

Semua agama di dunia sebenarnya melarang penganutnya membunuh diri. Dalam Islam jelas dinyatakan bahawa membunuh diri hukumnya haram kerana kita seolah-olah berputus asa dan melawan takdir Allah SWT. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan.” Melalui ayat ini, kita jelas dilarang untuk melakukan sesuatu yang akan menjadi sebab kebinasaan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

Sesiapa yang menjatuhkan dirinya dari gunung sehingga mati, maka di neraka jahanam dia akan menjatuhkan dirinya, kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meneguk racun sampai mati, maka racun itu akan diberikan di tangannya, kemudian dia minum di neraka jahanam, kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh dirinya dengan senjata tajam, maka senjata itu akan diberikan di tangannya, kemudian dia menusuk perutnya di neraka jahanam, kekal selama-lamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jadi, jelas di sini bahawa perbuatan membunuh diri akan membawa kebinasaan kepada pelakunya pada hari akhirat kelak.

Kita tidak berhak mengambil nyawa sendiri kerana nyawa merupakan hak milik Allah SWT dan Dia sahaja yang berhak mengambil nyawa setiap hamba-Nya kerana kehidupan merupakan suatu nikmat yang diberikan kepada manusia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 66 yang bermaksud, “Dan Dialah yang telah menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu lagi, sesungguhnya manusia itu benar-benar mengingkari nikmat.” Jadi, sewajarnya kita menjaga nikmat hidup yang diberikan oleh Allah dengan sebaik-baiknya. Bahkan, dalam maqasid syariah telah digariskan hak untuk memelihara nyawa kerana tanpa nyawa, manusia tidak boleh hidup dan menjaga agama Islam.

Seseorang yang membunuh diri tidak akan dimasukkan ke dalam syurga sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan, lalu mengambil pisau dan memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: ‘Hamba-Ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.’” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Hadis ini berdasarkan kisah seorang lelaki bernama Qotzman yang telah membunuh dirinya sendiri dengan pedang setelah tidak tahan menanggung kesakitan apabila cedera parah dalam medan peperangan. Hal ini menunjukkan bahawa Islam memberikan peringatan dan ancaman yang keras kepada umatnya agar tidak mengambil nyawanya sendiri. Berdasarkan nas tersebut dan pendapat kebanyakan ulama, jelas menunjukkan bahawa membunuh diri hukumnya haram dan termasuk dalam dosa besar.

Bagi orang Islam, kehidupan kita di dunia ini bukanlah berseorangan, sebaliknya Allah SWT sentiasa ada bersama-sama kita untuk mengadu dan bermohon sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada-Mu.” Gunakanlah talian hayat ini ketika kita dihimpit sebarang masalah dan cabaran hidup. Usah bergantung semata-mata pada manusia kerana kita akan menemui jalan buntu jika ditinggalkan keseorangan. Sebaliknya berharaplah kepada Allah SWT yang sentiasa ada buat hamba-Nya. Sifat Penyayang Allah SWT merupakan ruang untuk makhluk dan hamba-Nya mengadu dan memohon apa-apa sahaja kepada-Nya, dan nescaya akan dikabulkan.

Dalam kehidupan, setiap yang bergelar manusia pasti akan diuji dengan cabaran dan dugaan. Setiap kali diuji, kita perlu bersabar dan tabah menghadapinya walaupun sukar. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, manusia mesti percaya bahawa setiap ujian dan dugaan yang Allah SWT berikan adalah sebagai muhasabah diri, dan ujian itu adalah tanda Allah SWT mahu mengangkat darjat hamba-Nya melalui jalan kesabaran dan ketabahan.

Kita juga perlu memperkukuh kekuatan dalaman yang menjadi benteng pertahanan dengan memperbanyak amalan kerohanian yang mampu memberikan ketenangan. Usah sekali-kali berputus asa dan memohon pengakhiran hidup kepada Allah SWT. Bukan sahaja membunuh diri, tetapi bercita-cita untuk mati juga dilarang dalam Islam. Membunuh diri dan meminta untuk mati bukanlah jalan pintas bagi menyelesaikan sebarang masalah kita di dunia ini.

Jika kita berada dalam kesusahan dan kesempitan hidup, kembalilah kepada Allah SWT dan berusaha untuk mendekatkan diri kepada-Nya kerana Allah SWT sentiasa dekat dengan hamba-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud, “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu dalam kebenaran.” Kita perlu sentiasa bermunajat, berdoa dan memohon kepada Allah SWT walau dalam keadaan apa-apa sekalipun agar bantuan-Nya sentiasa bersama-sama kita. Yakinlah dengan segala kekuasaan dan pertolongan-Nya buat kita.

Setiap masyarakat perlu cakna akan isu ini dan memainkan peranan masing-masing bermula dengan ahli keluarga, sahabat dan individu terdekat. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan menyeru semua pihak bekerjasama dengan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencegah tingkah laku bunuh diri termasuklah mengenal pasti tanda awal amaran tingkah laku bunuh diri seperti perubahan tingkah laku secara mendadak, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan dan mengasingkan diri daripada orang sekeliling. Di Malaysia, KKM juga telah menyediakan Talian Krisis Bantuan Kesihatan Mental (HEAL) 15555 yang dikendalikan oleh oleh pegawai psikologi sejak Oktober 2022 sebagai antara inisiatif bagi mencegah tingkah laku bunuh diri.

Tuntasnya, biar apa-apa pun alasan yang dikemukakan untuk nekad membunuh diri sama sekali tidak boleh diterima akal yang sihat. Allah SWT sentiasa berlaku adil terhadap hamba-Nya. Bersabar dan sentiasa bersyukur dengan segala ujian dan nikmat yang dikurniakan akan menjadikan kita lebih tenang dan lapang. Memunuh diri bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah yang kita hadapi dan sentiasalah takut dengan amaran dan larangan keras oleh Allah SWT akan perbuatan ini. Jika mengalami tekanan perasaan, luahkan dan dapatkan bantuan daripada mereka yang pakar agar masalah ini tidak berlarutan, seterusnya meningkatkan tindakan cubaan membunuh diri. Setiap orang bertanggungjawab untuk menghentikan perbuatan membunuh diri dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam kalangan individu yang terdekat dengan kita.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.