Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSubang – Sebanyak 41 orang rakyat Palestin yang tercedera akibat serangan ganas Israel di Semenanjung Gaza selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang pada 16 Ogos lalu bagi menerima rawatan di Malaysia.
Misi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera itu dilaksanakan sebagai tanda solidariti Malaysia khusus kepada Palestin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin mengatakan, sebanyak enam negara telah menyatakan hasrat membawa rakyat Palestin yang cedera ke negara masing-masing dan Malaysia ialah negara kelima yang berjaya membawa masuk warga Palestin tersebut.
“Alhamdulillah, hari ini, sebanyak 41 rakyat Palestin berumur lapan bulan hingga 62 tahun yang cedera dan merupakan mangsa serangan rejim haram Zionis telah selamat tiba di negara kita.
“Kesemua mereka yang dipindahkan menggunakan dua buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diterbangkan dari Kaherah, Mesir turut diiringi oleh 86 waris dan telah tiba di Pangkalan Udara Subang … ,” katanya dalam hantaran di media sosial, pada Jumaat lalu.
“Mangsa yang cedera telah selamat ditempatkan di pusat rawatan yang disediakan oleh Hospital Angkatan Tentera Malaysia untuk mula menerima rawatan segera,” tambah beliau.
Menurut Datuk Seri Mohamed Khalid, misi kemanusiaan ini diusahakan oleh Kerajaan Malaysia atas pertimbangan yang sangat jelas dan tegas.
Jelasnya,
Selain pertimbangan kemanusiaan serta bagi menzahirkan kebersamaan warga Malaysia kepada semua mangsa kekejaman serta penjajahan ke atas negara Palestin, misi ini menegaskan pendirian Malaysia yang sentiasa menentang keras segala tindakan bersifat pencerobohan, dasar aparteid, pembunuhan beramai-ramai serta penafian hak asasi oleh para penjenayah perang yang bebas melanggar norma dan undang-undang antarabangsa.
“Semoga sumbangan dan usaha kecil kita ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka yang sedang diuji dengan penganiayaan dan penindasan,” ujarnya lagi.
Malaysia menjadi negara pertama di Asia yang membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.