Oleh NHZ
13 Ogos 2024, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Masyarakat yang berpendidikan dan berilmu dapat memupuk persefahaman dalam komuniti sekali gus dapat membendung berlakunya isu sosial yang menjejaskan penduduk setempat.

Mengambil contoh rusuhan yang berlaku di United Kingdom (UK) kerana isu sensitif yang melibatkan kaum dan agama dipermainkan tanpa sebarang sekatan, Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford UK, YBhg. Dato’ Dr. Afifi al-Akiti mengingatkan, ilmu menjaga hubungan baik sesama komuniti ialah kunci pada kehidupan berharmoni dalam sesebuah negara.

“Pendidikan itu penting apabila kita berdepan dengan kejahilan dan saya memetik titah Tuanku (Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah) dalam persidangan ini (Persidangan Serantau Asia Tenggara Mengenai Kemuliaan Insan 2024), ‘apabila kita berdepan dengan kejahilan, kita seharusnya menegakkan ilmu’.

“Kenapa? Kerana dengan adanya kejahilan, kita takut dengan orang yang menyebarkan ilmu.

“Kalau kita tidak faham bangsa lain, agama lain, misalnya, sampai tiada ilmu tentang mereka dan hanya ada maklumat stereotaip berkenaan mereka, itu yang mencetuskan permusuhan, tak kenal maka tak cinta.

“Jadi pendidikan itu penting untuk kita tahu tentang orang lain, berkenaan agama lain malah budaya lain, bukan masuk agama mereka, itu isu ‘Hablummin-Allah’ tetapi yang kita perkatakan ini adalah ‘Hablumminannas’ atau hubungan sesama manusia.”

Tokoh ilmuwan berkenaan mengupas lanjut topik persidangan bertemakan “Kemuliaan untuk Semua, Di Semua Tempat: Ke Arah Membangunkan Masyarakat Terangkum” ketika ditemu bual dalam slot Assalamualaikum TV Al-Hijrah baru-baru ini.

Pada persidangan yang diadakan awal bulan ini, Sultan Nazrin dalam titahnya menyatakan kekesalan baginda terhadap layanan tidak bermaruah yang diterima oleh sesetengah individu termasuk kekangan kebebasan beragama lalu memuji Malaysia sebagai contoh negara bertoleransi yang menyatupadukan masyarakat majmuk.

Dr. Afifi pada masa sama memberikan peringatan, Malaysia yang sudah berpengalaman menangani rusuhan kaum pada tahun 1969 perlu mengambil iktibar terhadap situasi yang berlaku di UK sekarang.

“Insya-Allah, kita ambil iktibar daripada semua ini supaya kita elak daripada apa-apa yang berlaku di UK datang ke Malaysia.

“Ada sebabnya isu 3R (raja, agama dan kaum) tidak harus dimainkan di Malaysia, apabila ia dimainkan, isu perkauman inilah (rusuhan) yang terjadi di UK dan kerajaan di sana tengah fikir untuk mengawal media sosial yang menjadi punca semua ini,” tambahnya.

Beliau mengakui, jika cabaran global dunia itu tidak dapat ditangani segera, hakikatnya, kekacauan itu bakal menjejaskan ekonomi UK dalam skala besar, namun pengajaran yang boleh diadaptasi di Barat adalah menerusi pendekatan yang diambil oleh Malaysia berhubung isu 3R berkenaan.

Sumber Foto: TV Al-Hijrah

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.