Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIsmail Haniyeh, nama yang sinonim dengan perjuangan rakyat Palestin, telah menutup tirai kehidupannya sebagai syahid dalam satu serangan kejam di Tehran pada 31 Julai 2024. Digelar “Singa Palestin”, Haniyeh telah mendedikasikan seluruh hayatnya untuk mempertahankan hak dan mengangkat maruah rakyat Palestin di tengah-tengah konflik penjajahan Israel yang tidak berkesudahan.
Konflik Palestin dengan negara haram Israel yang berlangsung selama lebih daripada 70 tahun, merupakan krisis geopolitik yang paling kompleks dan berlarutan di dunia. Konflik ini berpunca daripada penjajahan, eksploitasi petempatan, politik, ekonomi, serta pencabulan hak asasi sehingga rakyat Palestin menderita sebagai pelarian. Di tengah-tengah pergolakan ini, Ismail Haniyeh bangkit sebagai suara yang lantang bagi rakyat Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza.
Keperitan yang Mendidik
Dilahirkan pada 29 Januari 1962 di kem pelarian Shati di Gaza, Haniyeh merasai keperitan konflik sejak bayi. Kehidupan di kem pelarian yang serba kekurangan membentuk pandangan dunianya dan menanam benih perjuangan dalam dirinya sejak kecil.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Haniyeh tetap gigih mengejar ilmu. Kegigihan ini membawanya ke Universiti Islam Gaza. Di universiti inilah bakat kepimpinan Haniyeh mula terserlah. Beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga aktif dalam kegiatan pelajar, terutamanya yang berkaitan dengan isu Palestin.
Semasa di universiti, Haniyeh mula menunjukkan minat yang mendalam terhadap aktivisme politik. Beliau sering terlibat dalam demonstrasi dan protes menentang penjajahan Israel, menggunakan platform universiti untuk menyuarakan isu yang membelenggu rakyat Palestin. Aktivisme ini tidak lama kemudian membawa Haniyeh kepada perhatian Hamas, sebuah pergerakan Islam yang pada masa itu sedang meningkat pengaruhnya di Gaza.
Aura Kepimpinan Hamas
Tahun 2006 menjadi titik perubahan besar dalam kerjaya politik Haniyeh apabila beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Palestin. Pelantikan ini berlaku selepas kemenangan mengejutkan Hamas dalam pilihan raya legislatif Palestin. Walaupun jawatan ini hanya bertahan hingga tahun 2007 akibat konflik dalaman dengan Fatah, hal tersebut menandakan kebangkitan Haniyeh sebagai seorang daripada pemimpin utama Palestin.
Walaupun berhadapan dengan kesukaran ini, Haniyeh berjaya mengekalkan cengkaman Hamas ke atas Gaza. Beliau mengetuai perlawanan terhadap penindasan Israel, dengan memimpin beberapa siri konfrontasi bersenjata. Strategi Haniyeh bukan sahaja tertumpu pada perlawanan fizikal, tetapi juga melibatkan usaha untuk memperkukuh sokongan rakyat melalui program kebajikan dan pembangunan infrastruktur di Gaza.
Peranan Haniyeh menjadi semakin penting semasa konflik Gaza 2008‒2009. Untuk menghadapi serangan Israel yang dahsyat, Haniyeh sebagai Ketua Biro Politik Hamas memainkan peranan penting dalam usaha mengekalkan semangat perlawanan rakyat Palestin. Ekoran siri cubaan pembunuhan terhadapnya, Haniyeh telah berpindah ke Turkiye dan Qatar di samping memperkukuh strategi menguatkan sokongan antarabangsa.
Jelas, ketokohan beliau sebagai “singa” pembebasan Palestin terserlah, apabila sering memberikan ucapan yang berapi-api untuk menguatkan tekad rakyat Gaza khususnya ketika menghadapi genosid kejam oleh Israel.
Syahid Tidak Memadamkan Perjuangan
Menurut kenyataan Hamas, Ismail Haniyeh dan pembantunya, Wissam Abbu Shaaban terkorban di Iran dalam serangan khianat Israel menggunakan peluru berpandu jarak dekat yang disasarkan ke kediamannya di Tehran.
Pada hakikatnya, Haniyeh seorang yang sangat tabah dan merupakan pejuang yang kental. Hal ini dikatakan demikian kerana anak serta cucunya turut terkorban dalam siri serangan kejam Israel sebelum ini. Kesyahidan Haniyeh mengikuti dua mentornya yang syahid dalam serangan yang dirancang oleh Israel kira-kira 20 tahun lalu. Pengasas Hamas, Syeikh Ahmed Yassin dan penggantinya, Abdul Aziz Rantisi, kedua-duanya syahid apabila dibedil oleh helikopter Apache dengan kejam dalam tempoh sebulan oleh Israel pada tahun 2004.
Haniyeh dalam pidatonya pernah berkata,
Sesungguhnya gerakan yang mempersembahkan para pemimpin dan pengasasnya sebagai syuhada demi martabat bangsa dan umat kita tidak akan pernah dikalahkan. Serangan-serangan ini hanya akan menambah kekuatan, keteguhan dan tekad yang tidak akan goyah. Inilah sejarah pejuang dan gerakan, setelah pembunuhan para pemimpinnya, ia menjadi lebih kuat dan bersemangat.
Lebih menghibakan, Haniyeh pernah menyeru agar solidariti Gaza pada peringkat global diadakan pada 3 Ogos 2024, ekoran jenayah perang terhadap penduduk Gaza dan tahanan Palestin di penjara Israel. Namun demikian, ajalnya pada 31 Julai yang lalu lebih awal menjemputnya sebagai syahid. Kematian Haniyeh telah mengumpulkan banyak umat Islam di seluruh dunia bagi menunaikan solat jenazah secara ghaib sebagai tanda solidariti kepadanya.
Setelah solat jenazah dan penghormatan negara dilakukan di Iran, jenazah beliau diterbangkan pula ke Doha, Qatar untuk disolatkan oleh ribuan orang. Haniyeh dikebumikan pada Jumaat, 2 Ogos 2024 di Kompleks Pemakaman di Lusail.
Susulan kesyahidan Haniyeh, dunia Islam dan antarabangsa termasuk Malaysia mengutuk keras pembunuhan terancang terhadap Haniyeh. Justeru, legasi Haniyeh dalam perjuangan pembebasan Palestin akan terus diingati. Beliau bukan sahaja menjadi simbol perlawanan kekejaman Israel, tetapi juga mewakili suara rakyat Palestin yang menuntut keadilan dan pengiktirafan hak mereka yang dirampas.
Memetik kata-kata Haniyeh yang terkenal sehingga menjadi nasyid yang selalu didendangkan,
Pemimpin (Hamas), Ismail Haniyeh berkata … Kami takkan sekali-kali mengiktiraf Israel!
Perjuangan Haniyeh pasti diteruskan. Dari sungai ke segara, Palestin pasti akan merdeka!