2 Ogos 2024, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Neraka ialah tempat menjalani hukuman yang disediakan kepada manusia dan jin yang mengingkari suruhan dan larangan Allah SWT. Neraka digambarkan dengan seksaan yang sangat berat, berbentuk api yang menyala-nyala dengan kepanasan yang tidak terhingga, disertai minuman dan makanan yang menyeksai. Gambaran neraka yang sangat menggerunkan ini bertujuan supaya manusia berasa takut dengan seksaan Allah SWT, lalu insaf dan tidak melakukan syirik, segera bertaubat dan senantiasa melakukan amal soleh, kembali menyembah Allah yang Esa, serta menghayati kalimah lailahaillallah.

Wahai orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan azab neraka kerana seksaannya sangat dahsyat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Mereka tetap masuk ke dalam api neraka yang sangat panas (membakar). Mereka diberi minum daripada sumber mata air yang mendidih. Tiada makanan untuk mereka di situ selain pohon yang berduri. (Yang) tidak menggemukkan dan yang tidak dapat menghilangkan kelaparan sedikit pun.”

(Surah al-Ghasyiah  88:4̶ 7)

Takutlah neraka Allah kerana seksaan neraka berterusan dan tiada kematian akibat seksaan. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id r.a. bahawa  Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Adapun ahli neraka yang sememangnya mereka penghuninya, sesungguhnya mereka tidak akan mati di dalamnya dan tidak juga hidup (beristirahat daripada seksa neraka).”

(Hadis riwayat Muslim)

Takutlah azab neraka kerana malaikat yang menjaganya bersifat sangat bengis, keras dan tiada belas ihsan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-‘Alaq, ayat 16 hingga ayat 17 yang bermaksud, “Kemudian biarlah dia memanggil golongannya (untuk menyelamatkannya). Kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!”

Takutlah azab api neraka kerana neraka digambarkan sangat luas dan sangat dalam. Sayidina Abu Hurairah r.a. berkata, “Ketika kami bersama-sama Nabi Muhammad SAW, tiba-tiba terdengar bunyi seakan-akan ada sesuatu yang terjatuh, lalu Baginda bertanya kepada kami, ‘Tahukah kalian bunyi apakah itu?’ Kami menjawab, ‘Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui’; Baginda bersabda, ‘Itu ialah batu yang dilemparkan ke dalam neraka sejak 70 tahun dahulu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.’” (Hadis riwayat Muslim)

 Siapakah Golongan yang Diancam dengan Neraka Allah?

Pertama: Golongan kafir, munafik dan musyrik. Seksaan yang bakal menimpa golongan ini amat dahsyat dan mereka kekal di dalamnya.

Maksudnya: “Dan Allah menjanjikan kepada orang munafik lelaki dan perempuan serta orang kafir dengan neraka jahanam. Mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan bagi mereka dan Allah melaknati mereka dan bagi mereka azab yang kekal.”

(Surah al-Tawbah 9:68)

Kedua: Muslim yang mengingkari perintah dan berbuat dosa sehingga mereka mendapat pengampunan. Antaranya termasuklah golongan yang meninggalkan solat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Setelah melihat orang yang bersalah itu, mereka berkata): ‘Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?’ Mereka menjawab, ‘Kami tidak termasuk orang yang mendirikan solat.’

(Surah al-Muddaththir 74:42–43)

Ketiga: Golongan yang melakukan kezaliman, golongan sesat yang menyimpang daripada ajaran Rasulullah SAW, mendustakan Baginda, membunuh tanpa sebab yang dibenarkan, derhaka kepada ibu bapa, bakhil, sombong, riyak, memakan harta riba, mengambil harta orang lain dengan batil, wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna, menyeksa binatang, membunuh diri, meminum arak, berzina dan pelbagai dosa lain yang tidak dapat disenaraikan setiap satunya.

Umat Islam diberikan pesanan yang berikut agar dijauhkan daripada seksaan neraka:

Pertama: Berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah, jauhi ajaran sesat dan ajaran yang meragukan, serta tinggalkan apa-apa amalan yang boleh merosakkan akidah dan berunsur syirik.

Kedua: Istiqamah melakukan amal soleh, banyakkan beristighfar dan bertaubat dengan taubat nasuha, iaitu memohon ampun dan terus meninggalkan perbuatan dosa berkaitan sehingga menemui ajal.

Ketiga: Meninggalkan maksiat dan menjauhi dosa kecil dan dosa besar yang membinasakan diri di dunia dan di akhirat. Tidak boleh mengambil ringan dosa kecil dengan berterusan melakukannya tanpa rasa bersalah. Menurut Ibn Qudamah, dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar apabila dilakukan secara berterusan berpandukan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak ada dosa kecil apabila terus dikerjakan dan tidak ada dosa besar selagi dimohon keampunan.”

(Hadis riwayat al-Dailami)

Keempat: Tidak mengambil hak orang lain secara batil. Segeralah bertaubat dan memohon maaf kepada pihak yang telah kita ambil harta daripadanya secara batil.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang mengambil hak orang lain walau hanya sejengkal tanah, maka akan dikalungkan ke lehernya (pada hari kiamat nanti) seberat tujuh lapis bumi.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kelima: Perbanyakan berdoa agar dijauhkan daripada azab api neraka seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW melalui sabda Baginda:

Maksudnya: “Apabila kamu membaca tahiyat akhir (dalam solat), pohonlah perlindungan Allah SWT daripada empat perkara, iaitu “Ya Allah aku mohon perlindungan daripada azab neraka jahanam,  daripada azab kubur,  daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah al-Masih Dajjal.”

(Hadis riwayat Muslim)

Semoga kita dijauhi azab seksaan api neraka, diampuni dosa dan dirahmati Ilahi lalu ditempatkan dalam syurga-Nya yang penuh kenikmatan.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 2 Ogos 2024, bertajuk “Takutlah Azab Neraka”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.