Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Program Tahsin Ibadah Kursus Sembelihan di UiTM Cawangan Perlis memberikan pemahaman mendalam kepada para peserta mengenai kaedah sembelihan yang betul dan halal mengikut syarak.
Program tersebut merupakan program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Kedah dan Perlis dan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis).
Menurut YBrs. Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, program ini bukan sahaja menyentuh aspek keagamaan tetapi juga berkaitan dengan keselamatan makanan dan kesejahteraan ummah.
“Hal ini penting bagi memastikan bahawa setiap amalan kita, terutama yang berkaitan dengan makanan dan minuman adalah bersih dan suci,” katanya di Dewan Kuliah 6, UiTM Cawangan Perlis.
Beliau juga berharap agar para peserta kursus akan lebih yakin dalam menjalankan amalan sembelihan menurut kaedah Islam dan dapat menyampaikan ilmu ini kepada warga Muslim yang lain dalam usaha memperkukuh lagi pemahaman tentang kepentingan konsep halalan tayyiban setelah selesai menghadiri program ini.
Teori dan praktikal kursus penyembelihan dalam program ini disampaikan oleh Penolong Pendaftar, Hal Ehwal Islam, UiTM Cawangan Perlis, al-Fadil Ustaz Mohd Rizal Hanafi.