Oleh Suria Janib
26 Julai 2024, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Akhir-akhir ini, perbincangan tentang gaya hidup keluarga tanpa anak menjadi semakin hangat terutamanya di media sosial, dengan banyak individu atau pasangan yang bebas berkongsikan pengalaman dan pandangan mereka terhadap isu ini. Perdebatan sering timbul tentang implikasi jangka panjang pilihan ini, baik dari segi sosial mahupun emosi.

Walaupun terdapat pasangan yang berasa bahagia dan puas dengan pilihan mereka, tidak kurang juga yang menghadapi kritikan dan tekanan daripada keluarga serta masyarakat yang mempunyai pandangan lebih tradisional tentang perkahwinan dan keluarga. Perkara ini mencerminkan perubahan dalam nilai dan prioriti kehidupan moden, yang seterusnya membuka ruang untuk perbincangan yang lebih luas tentang definisi kebahagiaan dan kejayaan dalam konteks keluarga, bahkan yang lebih penting, dari sudut pandang Islam sendiri.

Untuk membicarakan isu ini, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin mengingatkan umat Islam agar memahami tujuan asal perkahwinan adalah untuk mendapatkan zuriat dari sudut maqasid syariat.

Katanya, mengikut falsafah perkahwinan, aktiviti kehidupan manusia seperti berkahwin, makan, minum, tidur dan berjalan termasuk dalam sifat semula jadi (fitrah) yang diletakkan oleh Allah SWT kepada manusia. Hal ini juga ditekankan oleh Imam Syafii yang menjelaskan bahawa hukum asal perkahwinan adalah harus, seperti hukum seseorang itu makan, minum, gelak ketawa dan bekerja. Daripada hukum harus ini, hukum perkahwinan boleh berubah menjadi hukum yang lain, iaitu sama ada wajib, sunat, makruh ataupun haram. Jika mengikut sunah Nabi Muhammad SAW, niat berkahwin adalah harus dan mengikut sunah.

Keadaan ini bertepatan seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Nisa’ ayat 1, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak.”

Berdasarkan petikan ayat tersebut, Allah SWT menjelaskan bahawa kejadian manusia datangnya daripada satu jiwa Adam dan Hawa sehingga berkembang biak. Tidak akan berlaku proses berkembang biak antara lelaki dengan perempuan, jika perkahwinan tersebut dilakukan sesama jenis antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Namun demikian, bagi sesetengah orang, perkahwinan dianggap suatu bebanan kerana merasakan tanggungjawab mereka semakin bertambah, dan kemudian ditambah pula dengan kehadiran anak.

Anak merupakan anugerah istimewa daripada Allah SWT, dan bukan suatu bebanan.

Persoalannya, adakah wajib memiliki anak dalam perkahwinan? Allah SWT  berfirman dalam Surah al-Syura ayat 49 hingga ayat 50 yang bermaksud, “Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa-apa yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua-dua jenis laki-laki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Allah SWT Maha Mengetahui apa-apa yang terbaik untuk pasangan yang mendirikan rumah tangga. Kehadiran anak dalam rumah tangga tidaklah dianggap suatu kewajipan, tetapi dengan kelahiran anak menjadi kewajipan bagi pasangan untuk menguruskan anak dan memeliharanya dengan sebaik-baik mungkin.

Memiliki anak merupakan anugerah istimewa dan aturan kehidupan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Hukum mendapatkan anak adalah harus, malah suatu galakan yang sangat tinggi bagi pasangan untuk mendapatkan anak kerana mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.

Pasangan yang berkahwin dinasihatkan agar berusaha untuk mendapatkan zuriat bagi mendapatkan keturunan, malahan Rasulullah SAW menyarankan seseorang itu digalakkan berkahwin dengan pasangan yang romantik dan subur untuk mendapatkan anak kerana Baginda amat berbangga mempunyai bilangan umat yang banyak.

Dr. Mohd Hapiz menegaskan demikian ketika menjadi panel program Suara dari Anjung Majalah Dewan Tamadun Islam yang bertajuk “Keluarga Tanpa Anak: Pilihan atau Takdir?” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sementara itu,  Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Tuan Haji Zamri Zainal Abidin yang juga panel dalam program tersebut, mempunyai pandangan yang sama, iaitu perkahwinan merupakan kelangsungan umat Islam. Allah SWT sudah memberikan hak milik-Nya, dan Dia Maha Mencipta apa-apa yang dikehendaki-Nya.

Seluruh alam ini merupakan milik Allah SWT. Oleh itu, rezeki anak berada pada kekuasaan Allah SWT, bukan diberikan oleh ibu bapa. Tambahan pula, perkahwinan merupakan suatu usaha kelangsungan zuriat dan keturunan yang termasuk dalam maqasid syariat, iaitu setiap sesuatu tujuan hukum syariat, sudah ditetapkan akan hikmahnya.

Dalam hal ini, setiap pasangan perlu menghalusi akan peranan dan tanggungjawab dalam perkahwinan yang dilengkapi dengan tarbiah, pendidikan dan pengetahuan yang berterusan selepas perkahwinan. Perkahwinan bukan mengikut arus semasa. Umat Islam perlu melihat hikmat perkahwinan adalah untuk melebarkan kasih sayang daripada Allah SWT.

Ahli gerakan feminisme yang dahulunya lantang menempelak institusi perkahwinan kerana menganggap isteri sebagai hamba suami, kini menyatakan kekesalan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka menyedari bahawa apabila berumur 50-an, mereka berasa sunyi dan sangat memerlukan pasangan sebagai teman hidup dan zuriat sebagai penyambung keturunan. Perkahwinan merupakan fitrah untuk manusia sejagat, dan semua agama menyeru pengikutnya kembali kepada fitrah manusia.

Setiap pasangan yang berkahwin akan sentiasa berhadapan dengan fitnah atau ujian untuk mendapatkan anak, maka mereka perlu menguatkan diri dengan ilmu keibubapaan supaya dapat mengendalikan hal tersebut dengan baik. Umat Islam perlu memahami konsep fiqh aulawiyyat, iaitu memahami kepentingan yang menjadi keutamaan dan mempunyai timbang tara dalam perbelanjaan harian.

Bekalkan diri dengan ilmu rumah tangga, bertawakal atau berserahlah kepada Allah untuk menghindari kerisauan kerana tidak mampu menjana pendapatan untuk keluarga. Semoga trend perkahwinan tanpa anak tidak merebak di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.