Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT:
Maksudnya: “Tidaklah sama keadaan orang beriman yang duduk (tidak turut berperang) daripada kalangan orang yang beriman – selain daripada orang yang ada keuzuran – dengan orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan darjat orang yang berjuang dengan harta dan jiwa mereka berbanding dengan orang yang duduk (tidak turut berperang tanpa keuzuran) dengan kelebihan satu darjat. Dan, tiap-tiap satu (daripada dua golongan itu), Allah menjanjikan balasan yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang yang berjuang berbanding dengan orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tiada sebarang keuzuran) dengan pahala yang amat besar.”
(Surah al-Nisa’ 4:95)
Ayat ini menunjukkan kelebihan darjat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada orang yang bersedia memenuhi tanggungjawab untuk berjuang pada jalan Allah dengan harta dan jiwa. Dalam Islam, berjuang demi memelihara keamanan, mengekalkan ketenteraman dan mempertahankan kedaulatan negara turut dianggap sebagai jihad. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Menjaga sempadan negara sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan solat malam sebulan penuh. Apabila penjaga tersebut meninggal dunia (ketika bertugas), dia akan terus diberikan pahala atas amalan yang biasa dilakukannya sebagaimana dia terus dikurniakan rezeki dan kenyamanan daripada segala pengganggu (azab kubur).”
(Hadis riwayat Muslim)
Keadaan negara yang aman dan tenteram hari ini membolehkan umat Islam berasa selamat untuk menuntut ilmu di sekolah, maktab atau universiti; berasa selesa untuk berniaga, bekerja, berkebun, bersawah, ke laut dan ke bukit untuk mencari rezeki; berpergian dari tempat ke tempat untuk ziarah menziarahi, bercuti dan melancong menikmati keindahan alam dan tempat peranginan; begitu juga beriang ria pada hari perayaan; juga mudah untuk beribadat ke surau dan masjid. Namun begitu, sedarilah bahawa keamanan, ketenteraman dan kedaulatan negara Malaysia bukannya bulat datang bergolek, tidak juga pipis datang melayang.
Keamanan, ketenteraman dan kedaulatan negara yang dinikmati oleh umat Islam pada hari ini merupakan hasil daripada semangat juang, iaitu semangat kepahlawanan dan semangat pengorbanan tinggi yang dimiliki oleh anggota pasukan keselamatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia bersama-sama anggota Polis Diraja Malaysia. Mereka merupakan wira negara yang mengabadikan jiwa dan raga sehingga ke peringkat sedia berkorban nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh, di samping memastikan negara berada dalam keadaan aman dan tenteram.
Sebuah negara berdaulat perlu mewujudkan suasana aman dan tenteram. Kedaulatan sesebuah negara ditentukan oleh tahap keselamatan negara daripada ancaman dan serangan musuh luar. Nikmat kehidupan yang aman dan tenteram tidak mungkin wujud tanpa jaminan keselamatan. Tanggungjawab besar untuk menjaga keselamatan negara diamanahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja untuk mengawal keselamatan di darat terutama di sempadan, Tentera Laut Diraja untuk mengawal kawasan perairan, dan Tentera Udara Diraja untuk mengawal ruang udara. Sementara tugas untuk menjamin keamanan dan ketenteraman awam diamanahkan kepada anggota Polis Diraja Malaysia.
Para anggota tentera dan polis telah dan sedang memenuhi tugas fardu kifayah yang sangat penting lagi mulia. Dalam usaha memenuhi tugas mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara, serta memastikan keamanan dan ketenteraman, anggota tentera dan polis mengorbankan keselesaan diri, di samping berhadapan dengan pelbagai ancaman dan risiko. Banyak yang cedera dan gugur, malah ada yang terkorban semasa menjalankan tugas sehingga meninggalkan balu pada usia masih muda, anak-anak kecil pula menjadi yatim, serta ibu bapa yang sudah menjangkau usia. Mereka yang terkorban merupakan wira bangsa yang gugur ketika mengabadikan jiwa raga berkhidmat untuk raja dan negara; dan ramai disemadikan di pusara yang tidak bernama.
Sambutan Hari Pahlawan diperkenalkan adalah bertujuan untuk menghargai jasa dan bakti para pahlawan yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan yang terkorban semasa menggalas tanggungjawab fardu kifayah memelihara keamanan, mengekalkan ketenteraman dan mempertahankan kedaulatan negara. Di Malaysia, Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai pada setiap tahun, mengambil sempena tarikh pengisytiharan tamatnya darurat pada 31 Julai 1960.
Setinggi-tingginya penghargaan diucapkan kepada setiap anggota tentera dan polis sama ada yang masih berkhidmat begitu juga yang telah bersara. Beberapa pesanan yang berikut wajar diberikan perhatian:
Pertama: Umat Islam hendaklah mendoakan agar Allah SWT memberikan ketabahan, kecekalan dan keyakinan serta perlindungan kepada anggota pasukan keselamatan semasa menjalankan tugas; serta dilimpahi keberkatan hidup dan ganjaran yang besar di akhirat nanti ke atas mereka dan keluarga mereka yang sama-sama berkorban.
Kedua: Umat Islam perlu menghargai khidmat para anggota keselamatan yang telah berkorban serta membuktikan kesetiaan yang tinggi kepada raja dan negara, dengan memberikan sokongan, pertolongan dan bantuan untuk memenuhi keperluan selepas mereka bersara, terutamanya dalam kalangan mereka yang cedera, cacat dan kehilangan anggota; demikian juga dihulurkan bantuan dan sokongan kepada anggota keluarga mereka terutama para balu yang kehilangan suami, serta anak-anak yang menjadi yatim.
Ketiga: Umat Islam hendaklah bermurah hati menghulurkan sumbangan dan derma kepada Tabung Pahlawan; termasuklah dipertimbangkan sebahagian daripada kutipan tabung masjid pada hari ini disumbangkan kepada Tabung Pahlawan.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 26 Julai 2024, bertajuk “Hargai Jasa dan Pengorbanan Pahlawan Negara”)