Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKeluarga tanpa anak atau childfree merupakan isu yang hangat dibincangkan di platform media sosial di Malaysia pada ketika ini. Hal ini berkaitan dengan pasangan suami isteri yang memilih untuk tidak memiliki anak walaupun mempunyai kemampuan untuk mengandung dan melahirkan zuriat.
Isu ini dikatakan agak kontroversi kerana bagi pasangan yang beragama Islam khususnya, memiliki zuriat (keturunan) dianggap sebagai satu anugerah dan tujuan sesebuah perkahwinan didirikan. Memiliki anak turut dianggap sebagai penyambung keharmonian sebuah keluarga dan juga sebahagian daripada fitrah manusia.
Pada dasarnya, konsep keluarga tanpa anak tidak termasuk dalam kategori perbuatan yang terlarang, bahkan setiap pasangan suami isteri berhak untuk merancang dan mengatur kehidupan berumah tangga termasuklah dalam hal memiliki zuriat. Meskipun tiada ayat yang secara langsung melarang keputusan tidak mahu anak, namun sebagai hamba yang beriman kepada Allah SWT, memilih untuk tidak memiliki anak ialah suatu pilihan yang tidak bijak kerana hanya Allah SWT yang menjamin kelangsungan hidup setiap hamba-Nya.
Konsep Keluarga Tanpa Anak
Pengertian keluarga tanpa anak (childfree) secara bahasanya bermaksud tidak memiliki anak berdasarkan pilihan masing-masing. Perkara ini merupakan kesepakatan yang dibuat secara sukarela oleh pasangan suami isteri untuk tidak memiliki zuriat sepanjang perkahwinan mereka. Lazimnya, golongan ini memutuskan untuk tidak memiliki anak kerana menganggap bahawa memiliki anak, sama ada anak kandung, anak angkat mahupun anak tiri, adalah hak peribadi dan hak asasi manusia yang tidak boleh dipaksa oleh sesiapa pun.
Sebenarnya, istilah keluarga tanpa anak (childfree) ini bukanlah fenomena baharu bahkan telah wujud sejak abad ke-20. Konsep ini juga telah diamalkan di negara Barat terutamanya negara maju.
Di Malaysia khususnya, cara hidup keluarga tanpa anak menjadi antara penyebab berlaku perubahan dalam statistik kadar kelahiran di Malaysia. Menurut Laporan Perangkaan Demografi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat penurunan jumlah kelahiran pada suku keempat tahun 2023, iaitu sebanyak 1.1 peratus berbanding dengan tahun 2022. Jumlah kelahiran di Malaysia hingga suku pertama tahun 2024 merekodkan penurunan sebanyak 9.4 peratus, iaitu 106 386 kelahiran berbanding dengan 117 413 kelahiran pada suku pertama tahun 2023. Keadaan ini sangat membimbangkan apatah lagi dengan trend keluarga tanpa anak yang semakin mempengaruhi pasangan muda di Malaysia.
Mengapakah Pasangan Tidak Mahu Memiliki Anak?
Keadaan ekonomi semasa yang tidak stabil boleh menjadi antara sebab kemungkinan pasangan terutamanya golongan Generasi Z memilih untuk tidak memiliki anak. Selain itu, kos pendidikan yang terlalu tinggi juga punca segelintir pasangan memilih gaya hidup sebegini. Namun demikian, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi pilihan keluarga tanpa anak melalui tiga aspek, iaitu peribadi, interpersonal dan kontekstual.
Faktor peribadi yang merangkumi aspek keutamaan dalam hidup, personaliti dan kesihatan boleh menjadikan pasangan suami isteri cenderung untuk tidak memiliki anak. Berkemungkinan segelintir daripadanya mempunyai pengalaman buruk ketika zaman kanak-kanak mahupun trauma yang tidak dapat dilupakan walaupun sudah berkahwin. Selain itu, alasan seperti tidak bersedia, kurang keyakinan dan tidak mempunyai ciri keibubapaan serta mahu memberikan lebih fokus kepada kebebasan peribadi turut mempengaruhi perkara ini.
Faktor interpersonal melibatkan keputusan bersama yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, iaitu suami dan isteri, untuk menjalani kehidupan sebagai pasangan tanpa perlu memikul tanggungjawab untuk mengasuh anak.
Sementara itu, faktor kontekstual pula didorong oleh pengaruh luar seperti keadaan ekonomi atau kewangan yang tidak stabil. Hal ini dikatakan demikian kerana ekonomi merupakan satu daripada aspek paling utama dalam kehidupan pasangan yang memilih untuk tidak memiliki anak kerana berasa diri tidak mampu untuk memberikan nafkah kepada anak sehingga dewasa.
Selain itu, faktor kesihatan seperti isu genetik dan komplikasi yang tidak dapat dielakkan sekali gus menghalang pasangan yang telah berkahwin untuk memiliki zuriat.
Sudut Pandang Islam tentang Keluarga Tanpa Anak
Islam ialah agama sempurna yang mengatur segala aspek dalam kehidupan manusia dan antaranya termasuklah pernikahan. Pernikahan dalam Islam disyariatkan dengan tujuan untuk meneruskan proses keturunan dalam usaha membangunkan generasi umat setelahnya.
Anak merupakan satu daripada nikmat dan rahmat Allah SWT yang dikurniakan kepada setiap hamba-Nya. Menolak nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT adalah berdosa kerana memungkiri fitrah yang telah Allah SWT tetapkan untuk manusia.
Sama ada kita berniat ataupun tidak untuk memiliki zuriat, hal tersebut merupakan ketentuan Allah SWT yang wajib kita syukuri. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Kahfi ayat 46 yang bermaksud,
Harta dan anak-anak ialah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.
Secara umumnya, antara tujuan perkahwinan yang disyariatkan dalam Islam termasuklah untuk mendapatkan zuriat bagi melahirkan keturunan. Pernikahan dan memiliki keturunan ialah fitrah manusia di dunia ini. Allah SWT memberikan kesempatan kepada manusia untuk menikmati kehidupan bersama-sama pasangan hidup dan keturunan yang baik. Maka itu, kehadiran anak dalam rumah tangga dan kehidupan pasangan suami isteri boleh menjadi ladang ibadat dan pahala.
Keturunan yang dimaksudkan adalah dengan memiliki anak kandung hasil daripada pernikahan yang dilangsungkan antara lelaki dengan wanita. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya, Hawa), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya ‒ zuriat keturunan ‒ lelaki dan perempuan yang ramai … .”
Menghalang kehamilan boleh dilakukan dengan cara ‘azl dan juga dengan membataskan keturunan yang bersifat tetap atau sementara. Membataskan keturunan yang bersifat sementara boleh dilakukan sama ada dengan pengambilan ubatan atau suntikan hormon. Dalam konteks ini, para ulama berpendapat bahawa merancang keluarga dengan mengambil ubatan atau cara lain yang boleh menghalang atau menunda kehamilan untuk tempoh sementara tidaklah haram, selagi cara tersebut tidak mendatangkan kemudaratan kepada individu tersebut.
Jika yang dimaksudkan dengan kehidupan keluarga tanpa anak ialah menolak bentuk anak sebelum potensi kewujudannya, iaitu sebelum sperma berada di dalam rahim wanita, maka hukumnya adalah boleh. Namun demikian, jika niat untuk membataskan keturunan yang bersifat tetap (selama-lamanya), disebabkan oleh kebimbangan tentang kesempitan rezeki atau takut miskin, maka hukumnya adalah haram.
Perkahwinan bukan sahaja satu ikatan formal, tetapi merupakan ikatan zahir batin yang mempunyai nilai agama yang membawa implikasi dan akibat daripada ibadat. Walaupun membuat pilihan tanpa zuriat ialah hak suami isteri, namun hal yang demikian mestilah dilakukan berdasarkan norma agama.
Memiliki anak dalam Islam adalah anjuran dan bukannya kewajipan. Walaupun tergolong dalam kategori bukan perbuatan yang terlarang kerana setiap pasangan mempunyai hak ke atas kehidupan rumah tangga masing-masing, namun kehadiran anak dalam rumah tangga ialah bentuk kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya kerana dengan kehadiran zuriat dalam sebuah perkahwinan boleh menghadirkan ketenangan dan keberkatan.
Islam memiliki konsep tersendiri dalam pembangunan sesebuah keluarga, iaitu tujuan utamanya adalah untuk beribadat kepada Allah SWT. Berusaha untuk memiliki zuriat (keturunan) merupakan suatu ibadat dan sunah para nabi.
Anak soleh yang terhasil daripada pernikahan merupakan maksud syariat bagi mukalaf. Maka itu, perbuatan memilih untuk tidak memiliki anak tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak merupakan sesuatu yang tidak seiring dengan tujuan pernikahan.
Meskipun memiliki anak dalam Islam bukanlah suatu kewajiban sehingga tidaklah berdosa jika pasangan tersebut memutuskan untuk tidak memiliki anak, namun harus diingatkan bahawasanya dalam Islam, anak dianggap sebagai rezeki. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 31 yang bermaksud,
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberikan rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka ialah satu kesalahan yang besar.
Generasi pada masa ini perlu diberikan kefahaman yang jelas bahawa perkahwinan ialah suatu ibadat, dan bukannya sekadar perbuatan untuk menggembirakan diri sendiri dan bersenang-lenang dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara. Kita juga perlu memahami bahawa perkahwinan juga ialah usaha bagi mempersiapkan generasi yang akan mewarisi ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.