Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Khairul Azhar
Kuala Lumpur – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, khazanah ilmu yang terdapat dalam koleksi nadir dan manuskrip perlu digali untuk manfaat bersama.
Menurut beliau, koleksi nadir dan manuskrip bukan sekadar untuk disimpan, tetapi perlu dilestarikan dan sebahagiannya perlu dipopularkan kepada generasi baharu melalui pelbagai kaedah.
“Dalam hal ini, terdapat dua cabaran utama yang perlu kita fikirkan untuk mengeluarkan khazanah ilmu tempatan daripada kitab.
“Yang pertama ialah cabaran mendapatkan pakar dari universiti untuk mengkaji manuskrip, dan yang kedua cabaran untuk menggunakan kepakaran tersebut dalam keperluan semasa,” katanya ketika Kunjungan Hormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ke DBP, bertempat di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengelola, Menara DBP, petang tadi.
Katanya,
Bagaimanakah kita hendak menggarap kepakaran dalam bidang teknologi yang berkaitan dengan manuskrip? Inilah cabaran baharu untuk kita lihat pada fungsi perpustakaan.
Jelas YBrs. Dr. Hazami, antara kaedah untuk mencapai matlamat tersebut termasuklah melalui penganjuran wacana dan pameran.
“Cara yang konvensional adalah dengan melantik penyelidik,” tambah beliau.
“Saya nampak ada persamaan yang dekat antara DBP dengan IKIM dalam konteks memperkasakan ilmu,” ujarnya.
Kunjungan Hormat IKIM ke DBP pada kali ini merupakan kunjungan kali kedua yang diketuai oleh Ketua Pengarah IKIM, YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
Antara agenda utama kunjungan hormat tersebut termasuklah mempelajari aktiviti dan kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah koleksi nadir dan manuskrip yang dilaksanakan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP serta rancangan kerjasama DBP – IKIM.
Selain itu, pihak IKIM juga berminat mengetahui pengalaman DBP selepas memperoleh tiga pengiktirafan daripada Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerusi program Memory of the World (MOW), iaitu manuskrip Sejarah Melayu (MS 86 -2001), dan Memory of the World Regional Register (MOWCAP), iaitu Kitab Ilmu Bedil (MS 101 -2016) dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (MS 100 – 2024).
“Saya harap kita dapat sama-sama berkongsi ilmu yang ada dalam manuskrip melalui medium seperti siaran secara berkala di IKIM.fm,” kata YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP, Encik Salim Md. Zin; serta pegawai dan pustakawan dari DBP dan IKIM.
Sebagai info, syarat sesebuah buku atau bahan dikategorikan sebagai nadir ialah sebarang dua faktor, iaitu usia dan keberadaan bahan.
Hal ini bermakna bahan tersebut perlulah berusia melebihi 50 tahun dan yang sangat jarang dijumpai, serta sukar diperoleh di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Di DBP, koleksi buku nadir dikhususkan kepada buku bahasa, sastera, budaya dan alam Melayu, termasuk cenderamata yang diterima daripada pelbagai pihak.
Dalam usaha memelihara dan memulihara koleksi nadir DBP, PDM DBP banyak menimba ilmu daripada Perpustakaan Negara Malaysia, dan pada masa yang sama menjalinkan kerjasama dengan Arkib Negara Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.