Diterbitkan pada 9 Julai 2024, 11:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Semua subjek yang diajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu mengintegrasikan nilai dan etika Islam berlandaskan ayat al-Quran dan sunah.

Pengarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam Asia Timur dan Tenggara atau The International Institute of Islamic Thought East and Southeast Asia (IIIT ESEA), YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Wira Dr Jamil Osman berkata, ilmu bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berlandaskan syiar Islam penting dalam proses kemenjadian graduan yang sedar akan peranan al-Quran sebagai sumber ilmu sejagat.

“Ilmu yang diturunkan (daripada nas agama) memberikan bimbingan holistik dari segi rohani dan moral, manakala pengetahuan bidang sains dan teknologi berfungsi sebagai alat untuk kemudahan manusia.

“Pengislaman ilmu pengetahuan merupakan satu pendekatan bersepadu terhadap pendidikan yang menggabungkan ajaran Islam dengan disiplin moden akademik, merangkumi aspek saintifik, sosial dan kemanusiaan,” katanya di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis, Jumaat lalu.

Profesor Emeritus Dato’ Wira Dr. Jamil juga memohon masyarakat Islam untuk terus menyokong konsep pengislaman ilmu pengetahuan biarpun terdapat kekangan yang dihadapi dalam proses mengintegrasikan ilmu ukhrawi dan duniawi dalam sistem IPT terutamanya di negara Muslim.

“Pendidikan di IPT negara Muslim masih mengamalkan sistem dikotomi yang membezakan antara ilmu pengetahuan Islam dengan ilmu pengetahuan moden.

“Ilmu pengetahuan Islam adalah berlandaskan ayat al-Quran dan sunah manakala sistem pendidikan moden berdasarkan kepada penemuan saintifik,” jelas beliau.

Katanya lagi, “Hal tersebut membentuk dualisme dalam sistem pendidikan yang terus mengekang penerapan nilai dan etika berlandaskan al-Quran dan sunah pada peringkat pendidikan tinggi.”

Profesor Emeritus Dato’ Wira Dr. Jamil berkata, melalui konsep “Pengislaman Ilmu Pengetahuan”, aspek dualisme ini dalam sistem pendidikan dapat dielakkan.

“Namun begitu, kita sedar cabaran dari segi kepimpinan, pembangunan kurikulum, pembangunan sumber manusia, pengajaran dan pentaksiran kursus, penyediaan bahan pendidikan, proses pengambilan pelajar dan sebagainya adalah sebahagian daripada aspek yang perlu kita nilai,” tambah beliau lagi.

YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Wira Dr Jamil Osman menerima cenderahati daripada YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi di Seminar International Academic Discourse 2024 (IAD2024), UiTM Cawangan Perlis.

Turut hadir menyaksikan perkongsian dan pembentangan beliau ialah YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi yang menjalankan fungsi Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Pegawai Perhubungan UiTM Global, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Mohd Akmal Hashim.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi