5 Julai 2024, 20:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun ini mengangkat tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” yang merupakan manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff, tema ini sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki di dunia dan di akhirat.

“Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep al-falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan gagasan Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, JAKIM akan menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M pada hari Ahad, 7 Julai 202 bersamaan dengan 1 Muharam 1446H bermula pada pukul 10.00 pagi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Raja Zarith Sofiah ke majlis tersebut.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Anwar bin Ibrahim dan isteri turut dijadualkan hadir  bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.

Seperti kelaziman, katanya penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa akan diumumkan pada majlis ini.

“Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara selain memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi,” jelas beliau.

Menurut beliau, Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M ini akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun di Masjid Putra, Putrajaya pada 6 Julai 2024 jam 7.00 malam yang akan dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.

Tambah beliau, bacaan doa tersebut akan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Sahibul Fadhilah Dr. Muhamad Zakuwa bin Rodzali.

“Kemuncak Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2024M ini ialah penyampaian Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa,” maklum beliau.

Sebanyak 6000 orang tetamu dijangka akan hadir terdiri daripada menteri dan timbalan menteri kabinet, duta, ketua jabatan atau agensi kerajaan, pegawai kanan kerajaan, kontinjen yang mengambil bahagian dan juga orang awam.

Beliau berkata bahawa sambutan maal hijrah yang disambut saban tahun di negara ini tentunya mempunyai pengertian tersendiri bagi mendidik masyarakat agar sentiasa menghayati peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam.

“Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW mempunyai banyak pengajaran dan nilai yang dapat kita contohi dan aplikasikan dalam hidup pada masa ini dan saya yakin setiap kita mempunyai perspektif dan pengertian masing-masing berkaitan dengan peristiwa hijrah ini,” katanya.

Beliau berharap sambutan maal hijrah pada tahun ini dapat memberikan manfaat yang bermakna ke arah melahirkan ummah yang berjaya dunia dan akhirat selaras dengan tema sambutan, “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” ke arah menjayakan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana YAB Dato’ Seri Diraja Anwar bin Ibrahim.

Majlis sambutan ini akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta Facebook dan Youtube JAKIM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.