Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang banyak dan (rezeki) yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (dalam perjalanan), maka sesungguhnya pahala hijrahnya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.”
(Surah al-Nisa’ 4:100)
Maal Hijrah mengandungi pelbagai keistimewaan dan sarat dengan pelbagai falsafah kejayaan yang boleh disesuaikan pada sepanjang zaman. “Minda Strategik Pencetus Ummah Dinamik” merujuk ummah yang memiliki kebolehan berfikir, merancang, menilai dan mengkaji seterusnya menghasilkan tindakan dan pendekatan berhikmah yang dapat disesuaikan dengan situasi semasa sekali gus menatijahkan kebaikan dalam kehidupan.
Sejurus menerima wahyu perintah berhijrah, Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat menyusun perancangan dan mengatur strategi bagi menjayakan perintah tersebut. Berkat perancangan daripada minda yang strategik dan dinaungi pertolongan Allah SWT, hijrah telah mengolah pendekatan baharu bagi mencetuskan ummah yang dinamik. Di Madinah, umat Islam bersatu teguh dengan kekuatan tauhid dan ukhuwah untuk memerintah sebuah negara bernaungkan syariat Allah SWT dengan berlandaskan perlembagaan bertulis pertama di dunia yang dikenali Piagam Madinah sehingga membolehkan Islam berkembang pesat, seterusnya melakar kejayaan yang gemilang.
Peristiwa hijrah Rasulullah SAW memahamkan kita bahawa perancangan strategik membolehkan urusan penghijrahan berjalan dengan sempurna sekali pun menempuh rintangan dan cabaran yang berat. Oleh itu, Maal Hijrah hendaklah dijadikan iktibar untuk membimbing umat Islam agar sentiasa melakukan perancangan yang bijak dalam setiap urusan kehidupan merangkumi urusan kekeluargaan, pengurusan dan pentadbiran, kewangan, kesihatan, pendidikan, perniagaan, pekerjaan, malah perancangan masa hadapan. Umat Islam yang melakukan perancangan secara teliti ialah ummah yang akan berjaya mencapai matlamat yang dituju.
Pada hakikatnya, al-Quran amat menggalakkan umatnya berfikir, malah mencela golongan yang tidak menggunakan akal untuk berfikir dengan baik. Namun begitu, pemikiran akal manusia wajib bertunjangkan tauhid serta panduan al-Quran dan sunah agar perancangan yang dihasilkan kekal menepati kehendak Allah SWT dan rasul-Nya.
Sirah Rasulullah SAW menunjukkan betapa minda strategik berjaya melahirkan generasi para sahabat yang berkebolehan merancang sehingga membawa kejayaan. Kemenangan peperangan Badar antaranya berpunca daripada al-Hubab bin al-Munzir yang mencadangkan kepada Baginda agar berpindah ke tempat yang lebih strategik bagi membolehkan tentera Islam menguasai bekalan air. Peperangan Khandak pula berakhir dengan kemenangan disebabkan Salman al-Farisi mencadangkan agar tentera Islam menggali parit berpandukan strategi peperangan bangsa Parsi.
Hal ini mengajar kita bahawa Islam amat mementingkan kualiti pekerjaan yang dilaksanakan dengan perancangan yang teliti. Berfikir secara strategik menjadi keperluan pada setiap zaman kerana bentuk cabaran dan ujian sentiasa berubah menurut tempat, keadaan dan zaman. Dalam era perkembangan teknologi moden kini, para pekerja dituntut berfikir secara kritis, menghasilkan corak kerja dengan pendekatan yang lebih berkesan, serta berani menyesuaikan diri dan menguasai kemahiran digital demi penghasilan kerja yang lebih cekap lagi teratur untuk memenuhi keperluan masyarakat.
Begitu juga strategi dakwah yang perlu diolah secara strategik agar berjaya menarik minat anak muda dan orang bukan Islam. Kerja-kerja amal, urusan kepimpinan, sambutan hari kebesaran dan sebagainya memerlukan perancangan strategik yang mampu memberikan kesan menyeluruh kepada masyarakat. Ibu bapa dan penjaga dianjurkan supaya membantu anak-anak untuk membuat perancangan hidup, termasuk hal pembelajaran, hala tuju, impian dan pengurusan kewangan agar mereka berupaya merancang dengan baik demi kelangsungan hidup.
Oleh hal yang demikian, umat Islam disarankan melaksanakan perkara yang berikut untuk membantu meningkatkan daya intelektual minda:
Pertama: Membaca, menghayati, bertadabur dan mengamalkan isi kandungan al-Quran serta menelaah bahan ilmiah yang berfaedah.
Kedua: Mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman pada setiap hari, mengawal berat badan melalui pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat; memastikan fikiran kekal sihat dengan mengawal emosi agar tenang dan stabil.
Ketiga: Menjauhi gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan alkohol, rokok, dadah dan tidur yang terlalu sedikit atau terlalu berlebihan.
Keempat: Menyemai minat terhadap perkara yang memperkaya minda dengan ilmu pengetahuan, melalui penyertaan dalam program keilmuan, menonton wacana ilmiah, melibatkan diri dalam perbincangan ilmiah, mengunjungi perpustakaan serta bersedia menerokai pelbagai bidang ilmu dan kemahiran baharu.
Maal Hijrah bermatlamatkan perubahan dan kejayaan. Jadikan peristiwa hijrah sebagai panduan untuk umat Islam bersedia melakukan pengorbanan meninggalkan tabiat buruk dan beralih kepada amalan dan kegiatan yang lebih mendatangkan kebaikan dan manfaat. Nyawa yang dikurniakan oleh Allah SWT hendaklah dimanfaatkan dengan perancangan dan tekad mahu mencapai wawasan dan matlamat baharu yang lebih cemerlang. Sesungguhnya umat Islam yang berjaya melakukan perubahan diri ke arah lebih baik merupakan umat Islam yang berjaya mentafsirkan sirah hijrah Rasulullah SAW dalam bentuk amali yang lebih bermakna selaras dengan sabda Baginda:
Maksudnya: “Tidak terhenti hijrah selagi tidak terhenti (kesempatan) bertaubat dan tidak terhenti taubat sehinggalah matahari terbit dari barat.”
(Hadis riwayat Abu Dawud)
Memenuhi sambutan Maal Hijrah 1446, umat Islam diseru agar menghayati perkara yang berikut:
Pertama: Tingkatkan iman, ketakwaan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Tinggalkan perkara maksiat yang mendatangkan dosa kerana dosa akan menghitamkan hati, memburukkan kelakuan, melemahkan daya fikiran serta menjadikan diri malas dan tidak proaktif.
Kedua: Manfaatkan potensi akal dengan sentiasa melakukan perancangan strategik dalam setiap urusan kehidupan; dilengkapi dengan sikap menepati masa, memenuhi janji, bercakap benar dan berakhlak mulia.
Ketiga: Jadilah insan yang berkeyakinan tinggi dan tidak mudah putus asa dalam apa-apa jua bidang yang diceburi dengan meningkatkan pengetahuan, menimba pengalaman dan menguasai pelbagai kemahiran.