Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melaksanakan ibadat korban menerusi Program Semarak Qurban 2024 yang diadakan di Hutan Semarak, UiTM Cawangan Perlis, semalam.
Program tahunan ini menyaksikan penyembelihan lima ekor lembu, dengan lebih 300 orang penerima mendapat manfaat termasuk pelajar, staf dan masyarakat setempat melalui agihan daging dan kenduri yang dianjurkan.
Pengarah Program, Encik Mohd Fahizan Hamid berkata, semangat gotong-royong amat jelas apabila proses korban dilaksanakan oleh staf UiTM Cawangan Perlis sendiri.
“Gotong-royong ini melibatkan proses sembelihan, melapah dan agihan yang dibahagikan mengikut kepakaran masing-masing.
“Malah, ibadat korban kali ini turut melibatkan pelajar UiTM Cawangan Perlis bagi memberikan pendedahan kepada mereka, lebih-lebih lagi banyak yang tidak pulang ke kampung kerana cuti yang pendek,” katanya.
Sementara itu, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi yang Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis pula berkata, pihak pengurusan universiti amat bersyukur dan berbangga atas semangat serta sinergi yang ditunjukkan oleh warga kampus untuk menjayakan program korban yang memberikan manfaat besar kepada seluruh warga kampus dan masyarakat setempat.
“Ibadat korban hukumnya sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat dituntut bagi kita yang beragama Islam. Ia tanda kita bersyukur atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Bersyukur dengan melakukan korban dan seterusnya berkongsi kesyukuran itu dengan mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau juga mengharapkan agihan daging korban dan kenduri yang dilaksanakan dapat meringankan beban golongan asnaf.
“Dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar, sudah pasti ada keluarga yang tidak mampu membeli barang keperluan terutamanya daging lembu,” tambahnya.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim; Timbalan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor; Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Profesor Madya Dr. Wan Izhan Mohd Nawawi; Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan; Pengurusan Kanan UiTM Cawangan Perlis; ketua-ketua unit, serta staf dan pelajar UiTM Cawangan Perlis yang turut bergotong-royong membantu menjayakan program ini.