19 Jun 2024, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Kuala Lumpur – Penganjuran Program Korban Perdana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 1445H dapat merapatkan ukhuwah dan semangat kerjasama antara karyawan DBP.

Demikian ucapan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika merasmikan Majlis Korban Perdana DBP yang diadakan di pekarangan DBP bersempena dengan sambutan Ulang Tahun DBP Ke-68, pagi tadi.

Simbolik penyembelihan dilakukan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

“Program Korban Perdana ini dapat memupuk semangat kerjasama selain menjalinkan ukhuwah dan silaturahim antara seluruh karyawan DBP dalam konteks memantapkan lagi gerak kerja pada semua peringkat,” katanya.

Program anjuran bersama Surau al-Hukama DBP, Bahagian Komunikasi Korporat dan Badan Keluarga DBP tersebut menumbangkan empat ekor lembu untuk diagihkan kepada asnaf berdekatan dan kakitangan DBP yang terpilih.

Para petugas Program Korban Perdana yang terdiri daripada para karyawan DBP.

Antara objektif penganjuran program tersebut termasuklah memberikan peluang kepada kakitangan DBP yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadat korban, selain membina ukhuwah dan meningkatkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan DBP.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya berharap hikmah daripada sambutan hari raya korban yang diraikan tersebut, DBP akan terus mara ke hadapan.

Para petugas  Program Korban Perdana DBP dan tetamu kehormat bergambar kenangan.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak pengurusan Surau al-Hukama, Ahli Jawatankuasa Majlis korban Perdana DBP, para karyawan, petugas dan peserta korban, serta semua yang terlibat menjayakan program tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa;  Ketua Bahagian Buku Umum, Encik M Azahari Edin; dan Pengerusi Surau al-Hukama, Tuan  Syed Mashor Syed Mustapha.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.