Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Kepimpinan bestari boleh dicapai dengan menerapkan nilai Islam dalam jati diri belia Muslim.
Demikian menurut Encik Mustaffa Kamil Ayub, Ahli Lembaga Pengarah Universiti (ALPU) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam sesi pembentangan beliau bersempena dengan The Symposium on Tech Technology: AI’s role in shaping the future of Muslim Youth, 2024 bertempat di Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perlis.
“Dari perspektif Islam, kepimpinan bestari perlu ada nilai seperti takwa, kejujuran, akhlak yang mulia, berpaksikan pada prinsip benar dan adil, memiliki misi dan visi yang jelas, senantiasa berpandangan jauh dalam mencari idea dan strategi, senantiasa menghargai sumber manusia, serta memiliki keperibadian yang matang dan sabar,” katanya.
Beliau juga mengingatkan belia Muslim agar bersiap siaga menghadapi cabaran yang mampu menggugat dan mencalarkan institusi ummah.
Kata beliau,
Ummah pada hari berdepan dengan krisis moral dan identiti, kejatuhan institusi kekeluargaan Islam, keselamatan awam terutamanya di negara mundur, masalah kesihatan dan alam sekitar, penularan sistem riba dan monopoli oleh pihak bank tidak patuh Islam, keselamatan makanan dan sumber produk halal, ketidakseimbangan pemilikan ekonomi Muslim dan bukan Muslim, dan sistem politik bersifatkan perkauman.
Beliau juga melontarkan beberapa cadangan untuk memperkasakan masyarakat madani mengikut cara Nabi Muhammad SAW.
“Warga madani hari ini boleh diperkasa dengan menguatkan akidah, menyemai etika dan moral yang betul, melaksanakan undang-undang syarak, memperkasakan pusat kecemerlangan Islam, mencontohi pemerintahan negara berlandaskan model Piagam Madinah dan memahami konsep rahmatan li al-‘alamin,” katanya.