Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dengan tegas menyeru umat Islam agar menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan keagamaan dan kebudayaan yang berkualiti.

Baginda menegaskan bahawa masjid perlu menjadi simbol penyebaran nilai Islam dan teladan Rasulullah SAW, serta pusat pembelajaran menyeluruh yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan.

Baginda tuanku bertitah demikian ketika merasmikan Masjid al-Mursyid, Guring bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-81 Tuanku Raja Perlis di Pauh, Arau.

“Masjid perlu menjadi institusi yang memberikan impak besar ke arah ‘Rakyat Perlis Bermentaliti Kelas Pertama dalam Segala Tindakan’,” titah baginda.

Baginda tuanku menyeru agar jawatankuasa kariah dan agensi agama memastikan pelaksanaan majlis ilmu yang komprehensif, mencakupi aspek penting seperti akidah, ibadat, akhlak dan pengetahuan umum seperti kesihatan, ekonomi dan isu semasa diadakan dari semasa ke semasa di masjid.

Tuanku Syed Faizuddin juga menekankan tentang peri pentingnya menjadikan masjid sebagai tempat yang aman dan selamat.

Pemangku Raja Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bergambar kenangan bersama-sama tetamu yang hadir.

Selain itu, baginda menyoroti perlunya alokasi anggaran yang memadai untuk pemeliharaan masjid serta menetapkan agenda yang jelas untuk meningkatkan fasilitet masjid sebagai ukuran pencapaian utama.

Dalam majlis tersebut, baginda tuanku bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut menyempurnakan simbolik perasmian dan pengurniaan cenderamata kepada dua individu yang diiktiraf atas jasa mereka dalam pembangunan dan penyelenggaraan masjid.

Penerima anugerah tersebut ialah Kassim Haji Hassan yang mewakili ayahnya yang telah mewakafkan tanah untuk pembangunan Masjid Kampung Guring, dan Haji Ramli Lebai Zain yang telah memberikan sumbangan besar dalam pengembangan masjid di kawasan tersebut.

Dengan inisiatif ini, Perlis berusaha untuk menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan yang tidak hanya memperkaya aspek keagamaan, tetapi juga membawa manfaat yang nyata dalam pembangunan sosial dan kemajuan umat Islam secara menyeluruh.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.