Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyumbang sebanyak 260 ekor lembu korban MADANI kepada masyarakat di kawasan Permatang Pauh sempena Aidiladha, semalam.
Sebanyak 155 ekor lembu diagihkan di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir, manakala 105 ekor lagi disalurkan kepada Masjid Daerah Seberang Perai Tengah.
Beliau berkata, ibadah korban bukan sekadar amalan tahunan sempena Aidiladha, malah membawa makna besar tentang pengorbanan, kesabaran dan kepatuhan kepada Allah SWT sebagaimana yang ditunjukkan melalui kisah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.
Menurut beliau, nilai pengorbanan itu penting dalam kehidupan masyarakat terutama ketika berdepan pelbagai ujian dan cabaran semasa.
“Sesungguhnya ibadah korban dan haji tidak pernah terpisah daripada makna pengorbanan, ketabahan serta kepatuhan yang mutlak kepada Allah SWT,” katanya.
YAB Dato’ Seri Anwar turut mengingatkan bahawa perjuangan membela rakyat dan menegakkan keadilan sentiasa menuntut pengorbanan besar sebagaimana yang ditempuhi oleh para nabi dan tokoh pejuang terdahulu.
Beliau juga menyentuh kisah aktivis Islam terkenal, Malcolm X yang menemukan makna persaudaraan sejati ketika menunaikan ibadah haji di Makkah.
Menurutnya, pengalaman Malcolm X menyaksikan umat Islam daripada pelbagai bangsa dan warna kulit berkumpul sebagai satu umat tanpa perbezaan kaum membuktikan bahawa Islam mengangkat nilai perpaduan dan persamaan.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu membina kekuatan dari sudut ilmu, ekonomi, akhlak dan perpaduan bagi memastikan masyarakat terus dihormati.
Beliau berkata, Aidiladha harus menjadi medan untuk memperkukuh kesatuan dan semangat membantu rakyat, bukannya mencetuskan perpecahan.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap ikhtiar dan bantuan benar-benar sampai kepada rakyat dengan semangat ihsan dan kemanusiaan,” ujarnya.