Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menekankan agar pengusaha, pentadbir dan guru Sekolah Islam di Perlis bertanggungjawab memastikan penggunaan kurikulum pengajian Islam diasaskan kepada sumber yang sahih serta selari dengan undang-undang tubuh negeri ini yang mengamalkan Ahli Sunah Waljamaah berpandukan al-Quran dan sunah.

“Kita seharusnya berbangga dengan identiti negeri ini dan berusaha memperkukuhnya sehingga menjadi penanda aras yang tinggi untuk dicontohi oleh pihak luar,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Pelancaran Garis Panduan Penubuhan dan Pendaftaran Sekolah Islam Negeri Perlis dan Buku Laporan Prestasi Tahfiz Tahun 2024 yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Persiaran Wawasan, Kangar.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah merasmikan Majlis Pelancaran Garis Panduan Penubuhan dan Pendaftaran Sekolah Islam Negeri Perlis dan Buku Laporan Prestasi Tahfiz Tahun 2024 yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Persiaran Wawasan, Kangar.

Program ini merupakan anjuran Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang berperanan sebagai pelaksana dasar-dasar agama yang telah diputuskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, JAIPs hendaklah memastikan setiap Sekolah Islam berdaftar di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah Islam agar pemantauan terhadap kebajikan guru dan murid di negeri ini dapat dilaksanakan.

“Penubuhan Sekolah Islam mestilah menjadi paksi yang menyokong dasar pendidikan Islam sedia ada di negara dan negeri ini serta menyasarkan sifar Sekolah Islam yang tidak mendaftar menjelang tahun 2030,” titah baginda.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra disambut oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Muhammad Hafeez Abu Seman serta para pegawai kanan JAIPs.

Hadir sama ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Muhammad Azmir Azizan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Sebagai rekod, di Perlis terdapat 33 buah Sekolah Agama dan Institusi Pendidikan Islam yang berdaftar di bawah JAIPs selaku agensi yang dilantik oleh MAIPs di bawah peruntukan Seksyen 3 Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Islam Perlis.

Institusi berkenaan terdiri daripada lima Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, tujuh Sekolah Agama Rakyat, 17 Maahad Tahfiz, dan tiga sekolah pondok.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.