26 Mac 2024, 14:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Klang – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2023 mencatatkan peningkatan yang luar biasa dengan Gred Purata Nasional (GPN) meningkat sebanyak 0.04 peratus, iaitu 3.09 berbanding dengan 3.13 pada tahun 2022.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek mengumumkan hal tersebut ketika berucap dalam Majlis Temu Mesra Bersama-sama Calon Peperiksaan STAM Tahun 2023 di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), pagi tadi.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika berucap pada Majlis Temu Mesra Bersama-sama Calon Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2023 di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, pagi tadi.

“Peningkatan ini menunjukkan prestasi yang luar biasa dalam keputusan STAM, sekali gus menunjukkan STAM masih lagi menjadi minat para pelajar dan mempunyai saluran dan masa depan yang khusus,” katanya.

Menurutnya, STAM diiktiraf untuk kemasukan Ijazah Pertama di Universiti al-Azhar dan kemasukan ke universiti tempatan, serta turut mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dan hal ini bermakna pemegang sijil STAM layak memasuki pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam.

YB Fadhlina juga berkata, mulai tahun 2024 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka peluang kepada calon lepasan STAM 2022/2023 yang berkelayakan dan berpotensi untuk mengikuti Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM.

 

“Langkah ini diambil untuk memastikan pelajar STAM turut mendapat tempat di IPG, khususnya untuk mengisi keperluan perguruan dan kehendak masyarakat bagi memastikan pelajar aliran agama dan berkebolehan dalam bahasa Arab mendapat tempat di IPG,” katanya.

YB Fadhlina menyantuni sebahagian pelajar STAM 2023 yang mengambil keputusan peperiksaan pada pagi tadi.

Bagi tahun 2023, sebanyak 4058 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM di 131 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah  tersebut, sebanyak 1294 merupakan calon sekolah KPM dan 1570 calon daripada sekolah Agama Rakyat, manakala selebihnya calon sekolah swasta dan calon persendirian.

YB Fadhlina merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon peperiksaan STAM tahun 2023 atas pencapaian yang cemerlang, serta penghargaan buat barisan pendidik dan para petugas peperiksaan.

Kredit foto: Khairul Azhar Baharuddin

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.