22 Mac 2024, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (menyebarkan Islam) dan menyuruh melakukan segala perkara yang baik (makruf) dan mencegah daripada segala perkara yang buruk dan keji(mungkar). Dan mereka itulah orang yang berjaya.”

(Surah Ali ‘Imran 3:104)

Polis Diraja Malaysia dipertanggungjawab untuk memikul amanah berat dan melaksanakan tugas penting, iaitu memelihara keamanan dan ketenteraman awam berdasarkan penguatkuasaan undang-undang demi menjamin keselamatan negara. Ayat 104 Surah Ali ‘Imran tersebut menunjukkan perintah Allah SWT agar wujudnya segolongan pihak yang menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada  berlakunya keburukan.

Sebahagian besar perintah Allah SWT ini telah disempurnakan melalui tugas dan peranan anggota Polis Diraja Malaysia. Dengan hal yang demikian, masyarakat dapat menjalani kehidupan secara bebas dan selamat dalam sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, serta hidup secara aman, harmoni, maju dan makmur.

Keamanan merupakan anugerah dan kurniaan besar daripada Allah SWT kepada sesebuah negara. Keamanan membolehkan rakyat bebas mendapatkan ilmu dan menimba pengalaman, bekerja untuk menyara kehidupan, hidup berkeluarga dan bermasyarakat, serta terpelihara daripada segala bentuk ancaman. Keamanan juga akan  mewujudkan suasana hidup yang harmoni, membolehkan rakyat hidup bersatu padu, serta sama-sama berusaha memakmurkan dan membangunkan ekonomi negara.

Oleh itu, peranan yang dijalankan oleh anggota Polis Diraja Malaysia amat bertepatan dengan prinsip maqasid syariah yang antaranya bertujuan untuk memelihara dan melindungi nyawa manusia selaras dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “… Sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa alasan yang membolehkan untuk membunuh orang itu atau bukan kerana (dia) membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olahnya dia telah membunuh seluruh manusia. Dan sesiapa yang menghidupkan (memelihara kehidupan) seorang manusia, maka seolah-olahnya dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.”

(Surah al-Maidah  5:32)

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam meletakkan nyawa manusia pada kedudukan yang tinggi dan usaha memelihara nyawa merupakan amalan yang mulia lagi terpuji.

Polis Diraja Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran dan mehnah yang berat semasa melaksanakan tugas. Demi memastikan keamanan negara kekal terpelihara, para anggota terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk keselamatan nyawa ketika melakukan tugas risikan, pengintipan, mengesan, menangkap dan mendakwa penjenayah. Polis Diraja Malaysia turut dipertanggungjawabkan menjaga perairan sempadan negara daripada musuh yang berhasrat mencemar kedaulatan negara dengan menimbulkan kekacauan dan gangguan.

Selain ditugaskan untuk mencegah jenayah, anggota polis turut melaksanakan tugas mengawal ketenteraman awam, berada di barisan hadapan, berpanas dan berhujan untuk mengawal keadaan yang melibatkan kehadiran rakyat yang banyak dan mengawal kesesakan lalu lintas semasa berlangsungnya keramaian, perhimpunan dan perayaan. Anggota polis juga berada di barisan hadapan apabila berlaku sesuatu peristiwa penting, bencana dan kemalangan.

Anggota polis meletakkan kepentingan masyarakat dan mengutamakan kepentingan masyarakat dalam memenuhi tugas mereka. Hati dan jiwa mereka diabadikan kepada masyarakat sewaktu memenuhi tugas. Oleh sebab itu, masyarakat turut mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keamanan negara kekal terpelihara. Beberapa peringatan yang berikut perlu diberikan perhatian oleh semua:

Pertama: Masyarakat perlulah menjauhkan diri daripada melakukan sebarang perkara yang boleh menggugat keharmonian hubungan kaum atau memecahkan perpaduan rakyat.

Kedua: Memberikan kerjasama kepada anggota Polis Diraja Malaysia dengan menyalurkan maklumat kegiatan yang mencurigakan, terutama membantu pihak polis dalam usaha menangani tatacara jenayah siber yang semakin banyak berlaku.

Ketiga: Menyimpan nombor talian kecemasan dan balai polis berdekatan dalam telefon

pintar.

Keempat: Jawatankuasa kariah dan masjid, institusi pendidikan, badan-badan belia dan bukan kerajaan digalakkan untuk menganjurkan program kerjasama melibatkan Polis Diraja Malaysia seperti majlis penerangan berkaitan keselamatan dan pencegahan jenayah.

Kerjasama antara polis dengan masyarakat dalam usaha membanteras kegiatan jenayah merupakan amalan murni selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka dengan lisannya, jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”

(Hadis riwayat Muslim)

Ramadan melimpahkan kesempurnaan takwa dalam kehidupan manusia, menjadikan hamba yang sentiasa patuh dan taat kepada perintah Allah SWT. Ramadan menitipkan pelbagai kebaikan, mendidik umat Islam ke arah sikap terpuji seperti bersabar, tegas dan berani mempertahankan kebenaran, berintegriti dan bertimbang rasa kepada mereka yang lemah. Sikap mulia ini menjadi keperluan untuk diamalkan oleh setiap manusia lebih-lebih lagi anggota Polis Diraja Malaysia yang berada di barisan hadapan, diberikan tanggungjawab untuk mengawal keselamatan negara dan menjamin ketenteraman awam agar rakyat dapat hidup dalam kesejahteraan.

Bersempena dengan sambutan Hari Polis yang ke-217, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada anggota Polis Diraja Malaysia atas tugas murni fardu kifayah yang telah mereka penuhi bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di negara kita. Begitu juga penghargaan buat anggota keluarga mereka yang secara sabar dan tabah turut berkorban, memberikan sokongan dan dorongan membolehkan para anggota polis melaksanakan tugas dengan berkesan.

Semoga Allah SWT menerima khidmat bakti para anggota Polis Diraja Malaysia sebagai amal makruf yang dilimpahi keberkatan, dianugerahkan ganjaran di dunia dan di akhirat.  Di samping itu, umat Islam diingatkan dengan dua perkara yang berikut;

Pertama: Menjaga keselamatan negara merupakan tanggungjawab fardu kifayah penting yang telah dilaksanakan dengan berkesan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia; tugas tersebut akan bertambah berkesan dengan adanya sokongan dan penyertaan sekalian rakyat.

Kedua: Hargai dan berterima kasih kepada anggota Polis Diraja Malaysia yang telah banyak berkorban untuk memastikan rakyat dapat hidup secara tenteram dan keselamatan negara kekal dipelihara.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 22 Mac 2024, bertajuk “Polis dan Masyarakat: Menginsafi Ramadan – Mensyukuri Nikmat Keamanan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.