Oleh Aisyah A.
12 Mac 2024, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek pada hari ini menyempurnakan Majlis Bicara Wahyu dan Pelancaran Program Ihya’ Ramadan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2024/1445H bertempat di Auditorium Kompleks E, di sini.

Program Ihya’ Ramadan KPM merangkumi aktiviti Tabung Ihya’ Ramadan, Hijrah Kasih, tazkirah, tadarus dan khatam al-Quran dan pelbagai aktiviti lain yang akan dijalankan sepanjang bulan Ramadan ini untuk warga KPM.

YB Fadhlina dalam ucapannya berkongsi tentang peringatan Allah bahawa, “Ramadan datang dengan senyum berseri dan Allah memberikan kekuatan untuk hamba-Nya menyambut bulan yang mulia ini.”

Beliau juga menyatakan bahawa peringatan berkenaan dengan Ramadan telah dikongsikan oleh asatizah dan para ulama saban tahun apabila pahala pada bulan mulia ini harus menjadi rebutan umat Islam seluruhnya kerana hanya pada bulan Ramadan, Allah membuka seluas-luasnya pintu taubat untuk hamba-hamba-Nya.

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsi tentang Dr. Abdullah Ulwan yang menulis buku yang bertajuk Tarbiyah al-Aulad fi al-Islam yang sangat penting dan mesti dipelajari serta disebar luas kepada masyarakat khususnya dalam konteks pendidikan Islam untuk anak-anak.

Beliau menyeru para hadirin untuk membaca kedua-dua jilid buku tersebut dengan bersungguh-sungguh sebagai persiapan untuk menjadi ibu bapa dan pendidik.

Berdasarkan penulisan tersebut, Dr. Ulwan menegaskan bahawa pendidikan akidah dan ibadat mesti dikukuhkan, justeru proses melatih anak-anak untuk melakukan ibadat puasa sekali gus melatih manusia untuk bersabar dalam usaha memberikan kefahaman kepada anak-anak tentang bulan Ramadan.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang diturunkan al-Quran dan juga merupakan permulaan untuk kita menjadi hamba yang Rabbani.

YB Fadhlina memberikan nasihat untuk memperbanyak tadabur al-Quran dan menyertai aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan al-Quran dalam program Ihya’ Ramadan KPM Tahun 2024.

Beliau menggalakkan agar para hadirin benar-benar menghayati tarbiah bulan Ramadan ini agar kita benar-benar menjadi orang yang Rabbani; yang benar-benar faham konteks ibadat yang mesti diraih secara istiqamah.

Beliau juga turut berkongsi tentang pengalaman beliau menyertai solat Subuh Macam Jumaat dan beliau menggalakkan umat Islam agar sentiasa perkukuhkan solat berjemaah dalam kalangan anak-anak.

Pengukuhan dan kefahaman solat berjemaah bukan sahaja tentang merapatkan saf tetapi diterjemahkan dalam kekuatan sebenar umat Islam yang terbina bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga spiritual.

Beliau turut menggalakkan pendengar untuk mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan ini untuk menunaikan solat secara berjemaah kerana Ramadan ialah bulan ibadat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.