Oleh Suria Janib
7 Mac 2024, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Puasa yang sempurna dapat membentuk hati dan peribadi mukmin, iaitu bersyukur diberikan pelbagai nikmat, berpeluang mengerjakan solat terawih, bertadarus, rajin melakukan ibadat, sentiasa bersyukur, dan tidak mengeluh walaupun penat  berpuasa, tetapi mengajar lidah untuk mengucapkan alhamdulillah.

Demikian inti pati ceramah yang disampaikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Wan Mohd Jeffri Wan Ibrahim dalam Ceramah Khas Sempena Ambang Ramadan: Puasa Membentuk Peribadi Mulia yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi semalam.

Ceramah Ambang Ramadan yang dianjurkan oleh Surau al-Hukama’ dengan kerjasama Badan Keluarga DBP (BKDBP) dan Puspanita DBP ini turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial DBP.

Pengerusi Surau al-Hukama’, Tuan Syed Mashor Syed Mustapha.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Surau al-Hukama’, Tuan Syed Mashor Syed Mustapha menyatakan bahawa penganjuran ceramah ini adalah sebagai pengisian takwim aktiviti surau pada tahun 2024. Selain ceramah bersempena dengan kedatangan Ramadan, surau ini juga akan mengadakan program Ihya’ Ramadan seperti Program Iftar dan Terawih di Surau al-Hukama’ DBP, Program Iftar Perdana dan pengedaran bubur lambuk kepada staf DBP dan ahli kariah Surau al-Hukama’.

Pendakwah bebas, Ustaz Wan Mohd. Jeffri Wan Ibrahim ketika menyampaikan Ceramah Khas Sempena Ambang Ramadan di DBP, semalam.

Dalam pengisian ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Wan Mohd. Jeffri, beliau berkata,

“Puasa membentuk peribadi mulia kerana bulan ini penuh dengan keberkatan, diterima pintu taubat, dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka serta diterima segala doa hamba-Nya.

“Diharapkan kita dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadan pada kali ini walaupun sekurang-kurangnya dapat berpuasa sehari,” katanya.

Tambahnya, hikmah umat Islam diwajibkan berpuasa adalah untuk menunjukkan kepatuhan hamba-Nya terhadap perintah Allah SWT. Oleh itu, umat Islam wajib patuh dengan perintah dan meninggalkan segala larangan Allah SWT.

Ustaz Wan Mohd. Jeffri turut mengambil huraian daripada hadis Rasulullah SAW bahawa rezeki telah ditentukan sewaktu dihembuskan roh ke atas janin yang belum lahir lagi.

Begitu juga dengan ajal dan maut seseorang itu sudah ditentukan oleh Allah SWT, tetapi umur seseorang boleh bertambah dengan amalan penjagaan kesihatan dan sering bersedekah.

Menurutnya lagi,

Perjalanan kehidupan dan amalan harian di dunia ditentukan oleh Allah SWT, begitu juga dalam usaha melaksanakan ibadat puasa, semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT. Oleh itu, hikmahnya dalam soal ibadat ini, kita tidak perlu bimbang untuk mengerjakan ibadat puasa kerana hal tersebut sudah ditentukan oleh Allah SWT.

Allah SWT juga menentukan bahagia atau duka, syurga atau neraka bagi hamba-Nya, maka hidup manusia di dunia ini perlulah beribadat untuk melalui jalan ke syurga.

“Antara hikmah berpuasa termasuklah seseorang itu sedar bahawa dirinya di bawah pemerhatian Allah SWT.

Apabila berpuasa, tidak ada sesiapa pun yang tahu yang diri seseorang individu itu sedang berpuasa melainkan Allah SWT.

Walaupun nafsu ingin makan dan lapar, tetapi apabila kita menyedari bahawa diri sedang berpuasa dan ada ikatan dengan Allah SWT, lantas hal tersebut menghalang dirinya daripada makan dan minum kerana sedar bahawa dirinya berada di bawah pemerhatian Allah SWT,” jelasnya.

Peserta ceramah bergambar kenangan bersama-sama penceramah, Ustaz Wan Mohd. Jeffri Wan Ibrahim, Pengerusi Surau al-Hukama’, Tuan Syed Mashor Syed Mustapha, dan Timbalan Pengerusi Puspanita DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Bulan Ramadan merupakan bulan suci yang menunjukkan ketaatan dan menghampirkan diri kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, bulan Ramadan lebih istimewa berbanding dengan bulan-bulan yang lain kerana pada bulan ini penuh kelebihan, kemuliaan serta hampir dengan syariat Allah SWT.

“Apabila seseorang itu dapat mengawal nafsunya pada bulan Ramadan, hal ini akan menyuburkan jiwa, melembutkan hati yang keras, mendidik jiwa serta mampu mewujudkan sifat berkasih sayang yang akhirnya menjadi teras pembangunan umat Islam.”

“Dengan berpuasa, seseorang itu dapat merasai keperitan hidup dan memahami kesusahan orang lain. Puasa perlu dijadikan sebagai ibadat bukannya adat,” ujar beliau lagi.

Turut hadir dalam ceramah yang berlangsung selama dua jam itu termasuklah Pengerusi Surau al-Hukama’, Timbalan Pengerusi Puspanita, DBP, ahli jawatankuasa Surau al-Hukama’, BKDBP dan Puspanita DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.