18 Februari 2024, 19:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – YBrs. Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dilantik sebagai Pengerusi baharu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), berkuat kuasa pada 15 Februari 2024.

Beliau dilantik menggantikan YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar setelah tamat tempoh lantikannya sejak tahun 2021.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, pelantikan tersebut dilaksanakan selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Sesungguhnya pengalaman luas YBrs. Tuan Haji Syed Kamarulzaman sebagai seorang tokoh ilmuwan serta memiliki kepakaran pentadbiran amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan MAIWP,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, baru-baru ini.

Saya mendoakan beliau agar terus diberi taufik daripada Allah SWT untuk memikul amanah besar ini demi memartabatkan Islam dan umat Islam.

YBrs. Tuan Haji Syed Kamarulzaman merupakan seorang jurutera di bawah syarikat Tenaga Nasional Berhad selama lebih dari 33 tahun.

Selain itu, beliau merupakan tokoh dan pemikir hal ehwal yang berkaitan dengan Islam yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuklah sains dan teknologi.

Sebelum menjawat jawatan Pengerusi MAIWP, beliau merupakan seorang pemikir dan penasihat kepada beberapa agensi penting seperti Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.