10 Februari 2024, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia kekal utuh sebagaimana yang jelas dinyatakan dalam Perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Naim Haji Mokhtar menyatakan demikian berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Nik Elin Zurina binti Nik Abdul Rashid.

Tambahnya, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama-sama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes ini untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.

“Selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan mahkamah syariah akan terus berjalan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau memaklumkan bahawa beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini, serta segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan mahkamah syariah akan dilaksanakan.

Menurutnya lagi, beliau juga akan segera memohon perkenan untuk menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim dan Timbalan YDPA, Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum akan hal keputusan mahkamah tersebut.

“Saya juga akan memohon menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan DYMM Raja-Raja Melayu bagi menyembah maklum perkara yang berkaitan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihaknya akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak yang terlibat dengan mahkamah syariah untuk sama-sama berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya dan akan segera melaksanakannya jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang.

Tambah beliau, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-undang Islam yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, YBhg. Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi akan mengkaji isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam MKI dan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak supaya bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberikan jaminan kepada umat Islam bahawa mahkamah syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.