19 Januari 2024, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) akan mula mengeluarkan surat tawaran haji kepada 31 600 orang jemaah haji bagi tahun 1445H/2024M bermula hari ini.

Menurut TH, bakal jemaah haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.

“Kos haji bagi seorang bakal haji muassasah untuk musim haji 1445H/2024M meningkat lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun 1444H/2023M, dan kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM12,356 seorang,” kata TH dalam satu kenyataan pada hari ini.

Tambahnya, TH juga akan meneruskan bantuan kewangan haji bersasar untuk bakal haji muassasah daripada kalangan B40 dan M40 pada tahun ini walaupun terdapat peningkatan kos menunaikan ibadat haji.

Katanya lagi, kadar yang ditetapkan ini telah mengambil kira keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap bakal haji kumpulan B40, iaitu kerajaan akan menanggung sebanyak RM1,000 seorang.

“Bakal jemaah haji kumpulan B40 akan menerima bantuan kewangan haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji, sementara kadar jemaah haji kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula ialah RM19,152 seorang yang akan menerima bantuan kewangan haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus daripada keseluruhan kos haji,” jelas TH.

Sementara itu, katanya, kumpulan T20 pula akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji, iaitu sebanyak RM33,300 seorang.

TH memaklumkan perbelanjaan atau kos menunaikan haji meliputi seluruh rantaian perkhidmatan haji termasuk penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di tanah air dan di tanah suci termasuk operasi masyair, pengangkutan, kos pengurusan kebajikan serta kesihatan jemaah haji, dan lain-lain kos operasi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.