15 Januari 2024, 21:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tabung Haji (TH) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Malaysia (BUMITRA) akan menganjurkan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Pengelola Jemaah Haji Musim Haji 1445M/2024M (Karnival PJH) buat kali kedua tahun ini dalam usaha untuk terus membantu menangani masalah penipuan pakej haji dan umrah di negara ini.

Karnival yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 23 Januari 2024 di Pusat Konvensyen Hotel Movenpick (MHCC), Sepang ini bakal menghimpunkan 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Menurut Setiausaha Agung Kehormat BUMITRA, Ab Rahman Mohd Ali, pada tahun ini sebanyak 25 syarikat PJH berbanding hanya 23 syarikat pada tahun lepas yang akan berkumpul di bawah satu bumbung dalam karnival tersebut bagi memudahkan masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dan tepat mengenai pakej yang ditawarkan oleh mereka.

Setiausaha Agung Kehormat BUMITRA, Ab Rahman Mohd Ali Ketika menjadi tetamu dalam rancangan “Apa Khabar Malaysia” terbitan BernamaTV bagi mempromosikan Karnival PJH.

“Sambutan masyarakat terhadap pakej haji swasta juga menggalakkan kerana perkhidmatan yang ditawarkan lebih baik seperti jarak hotel yang lebih dekat pengurusan pengangkutan yang lebih baik,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan “Apa Khabar Malaysia” terbitan BernamaTV baru-baru ini.

Tambahnya, walaupun bakal jemaah haji memilih pakej haji swasta daripada syarikat PJH, pihak TH masih akan memantau agar tidak berlaku sebarang penipuan sebagaimana yang telah dijanjikan dalam pakej.

Menurut beliau, tiada istilah penetapan kuota jumlah jemaah haji yang memilih pakej swasta dan mereka juga merupakan sebahagian daripada jumlah kuota haji yang telah ditetapkan pada musim haji 1445H/2024M, iaitu sebanyak 31 600 orang.

Beliau berkata bahawa umat Islam terutamanya mereka yang berada dalam senarai bakal jemaah haji pada tahun ini dijemput untuk hadir ke karnival tiga hari tersebut kerana selain mendapatkan maklumat berkaitan dengan pekej haji, umrah dan pelancongan, terdapat banyak lagi aktiviti lain yang turut diadakan.

“Antara aktiviti menarik sepanjang karnival tersebut termasuklah program Bual Bicara dengan tajuk “Cabaran dan Persediaan Jemaah Haji di Tanah Suci”, program Simulasi Haji Cilik untuk golongan kanak-kanak, kuiz serta gerai jualan makanan dan barangan dengan kerjasama pengurusan Masjid Sultan Abdul Samad,” jelasnya.

Tambahnya, pengunjung yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah utamanya merupakan dua pakej umrah kepada penerima yang bertuah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.