Oleh Aisyah A.
12 Januari 2024, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar menegaskan bahawa cadangan pembukaan rumah pelacuran adalah bertentangan dengan undang-undang sivil dan syariah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan berikutan cadangan daripada seorang pelakon terkemuka negara agar pihak berkuasa “menghalalkan” pusat pelacuran khas di Malaysia sebagai langkah untuk mengurangkan kes rogol dalam negara.

Menurut beliau, “Cadangan tersebut telah mengundang polemik dan kontroversi dalam masyarakat memandangkan pelacuran merupakan aktiviti yang tidak dibenarkan menurut undang-undang di Malaysia.”

“Pelacuran merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya.

Dato’ Setia Dr. Na’im dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 9 Januari 2024 menjelaskan panjang lebar berkenaan dengan definisi serta hukum rogol dan pelacuran daripada pendapat-pendapat ulama kontemporari selain berkongsi tentang akta-akta yang digubal bagi membolehkan seseorang diseksa atas kesabitan jenayah yang berkaitan dengan perbuatan rogol dan pelacuran.

Menurut beliau, ulama terdahulu memilih definisi zina oleh Al-Zaila’i sebagai takrif yang terbaik kerana memasukkan elemen kerelaan yang secara jelas menunjukkan perbuatan yang dilakukan tanpa paksaan berbanding dengan pendapat umum yang membincangkan isu rogol di bawah jenayah zina.

Al-Zaila’i yang juga merupakan ulama’ mazhab Hanafi memberi definisi zina sebagai persetubuhan haram dengan perempuan hidup (bukan mayat), yang bukan di bawah pemilikannya (hamba), atau isterinya, secara sukarela dan tanpa paksaan, yang berlaku dalam negara Islam.

Sementara itu, terdapat ulama daripada mazhab Maliki, Syafi’e dan Hambali meluaskan skop zina dengan memberikan definisi, persetubuhan haram oleh seorang lelaki dewasa yang siuman dengan perempuan yang bukan isterinya.

“Pelacuran adalah jenayah yang berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud,” jelas Dato’ Setia Dr. Na’im.

Berdasarkan pendapat-pendapat ulama’ ini dan akta yang telah digubal dan diguna pakai dalam Malaysia sebagai sebuah negara Islam, beliau menegaskan, “Cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti yang diutarakan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat.”

Walaupun tidak dinafikan kes rogol di Malaysia semakin meningkat dan jenayah ke atas wanita semakin membimbangkan, beliau mencadangkan agar negara menggunakan kaedah fiqah sebagai panduan untuk menyelesaikan isu-isu sosial tersebut.

“Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah fiqah berikut sewajarnya dijadikan panduan; Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain,” katanya.

Selain itu, bekas Pengarah Eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah, berkata, pelakon yang mengeluarkan cadangan tersebut sebenarnya tersalah faham dengan isu rogol.

Katanya, jenayah itu boleh diatasi dengan mendidik orang ramai – khususnya lelaki – agar sentiasa menghormati wanita dan menerima hakikat bahawa mereka adalah setara.

Personaliti agama, Ridhuan Tee turut berpendapat bahawa cadangan tersebut adalah tidak wajar kerana tidak berpaksikan agama sebaliknya mengikut hawa nafsu semata-mata.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.