Oleh Aisyah A.
8 Januari 2024, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar pada hari ini mengumumkan kuota jemaah haji dari Malaysia pada tahun 2024 adalah sebanyak 31 600 orang jemaah.

Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah semasa pertemuan sempena majlis menandatangani Memorandum Aturan Urusan Haji 1445H/2024 di Jeddah, Arab Saudi.

Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im bersama-sama Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Rashid Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah dan Ketua Pengarah Jabatan Haji, TH, Datuk Sri Syed Saleh telah mengadakan lawatan kerja ke Jeddah pada 5 Januari 2024 yang lalu bersempena dengan Persidangan dan Pameran Umrah dan Haji.

Dalam rakaman video berdurasi lima minit, Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im telah mengucapkan tahniah kepada Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi khususnya kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammad bin Salman atas usaha yang dilakukan selama ini dalam memastikan ibadat haji dapat dijalankan dengan lancar.

Beliau juga menyatakan bahawa kerjasama yang mantap antara TH dengan Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi telah memastikan rakyat Malaysia yang pergi menunaikan haji pada tahun-tahun lalu mendapat kemudahan yang terbaik dan dapat melaksanakan ibadat haji mereka dengan tanpa sebarang masalah.

“Saya percaya, bagi tahun 2024, ini Kerajaan Arab Saudi khususnya Kementerian Agama akan memperbaik dan menambah baik kemudahan-kemudahan yang ada bagi memastikan kebajikan jemaah haji pada tahun ini akan lebih terjaga,” katanya.

Kerjasama Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi yang telah dibincangkan dan diusahakan antara Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im dengan Dr. Tawfiq adalah bermula dari Makkah Route di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang memudahkan perjalanan dari tanah air hingga ke tempat jemaah haji masing-masing di tanah suci sama ada di Makkah atau Madinah.

Beliau meminta rakyat Malaysia berdoa agar hubungan baik antara Malaysia dengan Arab Saudi terus dikekalkan dan ditambah baik demi kemaslahatan serta kebajikan umat Islam sekali gus memastikan jemaah haji dari Malaysia terus mendapat kemudahan yang akan disediakan pada tahun mendatang.

Lawatan kerja hari ketiga pada 7 Januari 2024 sempena Majlis Menandatangani Memorandum Aturan Urusan Haji 1445H/2024M bertempat di Jeddah itu bukan sahaja membincangkan perkara berkaitan dengan haji malah beliau turut menghadiri persidangan yang diadakan dan sekitar 80 negara dijangka akan turut menyertainya.

Tema bagi persidangan ini adalah untuk melihat dan berkongsi pengalaman bagaimana pelaksanaan haji dari negara lain khususnya di Arab Saudi.

Persidangan ini juga adalah bertujuan untuk mencari jalan perubahan dan cadangan untuk menambah baik operasi haji.

Beliau turut memaklumkan bahawa Tuan Syed Hamadah telah dijemput dalam satu daripada forum dalam persidangan tersebut untuk berkongsi pandangan dan pengalaman TH dalam urusan melaksanakan dan menguruskan jemaah haji di tanah suci.

Selain itu, Dr. Tawfiq juga ada menyebut bahawa beliau telah mempromosikan TH khususnya dalam konteks latihan yang diberikan kepada jemaah haji di Malaysia.

Beliau telah meminta kepada menteri yang bertanggungjawab dalam menguruskan haji di Iraq untuk bertemu Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im dan Pengerusi serta Pengurusan Tertinggi TH untuk belajar bagaimana jemaah haji di Malaysia mengikuti kursus dan sukatan pengajian sebagai persediaan sebelum mereka melanjutkan perjalanan ke tanah suci untuk mengerjakan haji.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.