Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjaya mengagihkan sumbangan agihan zakat sebanyak RM4,529,000.00 kepada sebanyak 6470 orang asnaf di seluruh negeri Perlis melalui Program Kayuhan MAIPs Peduli sepanjang tahun 2023 yang lalu.

Kesemua 80 kayuhan yang dilaksanakan tersebut tahun lalu melibatkan keberangkatan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa melalui Program Kayuhan MAIPs Peduli sejak tahun 2013 hingga hari ini, sebanyak 45 425 orang penerima telah menerima sumbangan dengan jumlah penuh agihan MAIPs bernilai RM29,301,500 dengan bilangan kayuhan sebanyak 867 kali. MAIPs amat beruntung kerana kesemua program melibatkan komitmen penuh daripada Tuanku Raja Muda yang berangkat sendiri mengetuai program.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis sepanjang menjayakan segmen pemeriksaan kesihatan kepada 102 kariah masjid di seluruh negeri Perlis sepanjang tahun lalu melalui program ini.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih atas kerjasama ketua-ketua jabatan dan para petugas yang menjayakan penganjuran program sepanjang tahun 2023 terutamanya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta semua rakan strategik dan para penyumbang zakat kepada MAIPs yang budiman.

“Harapan saya agar pada tahun 2024, MAIPs akan dapat mengembangkan lagi kerjasama dengan pelbagai pihak dalam memberikan impak kepada golongan sasar,” tambah beliau.

Demikian ucapan Mohd Nazim selepas selesai Program Kayuhan Kali Ke-80 sebagai Penutup Tirai Tahun 2023 yang berlangsung di Wisma MAIPs 2, Kangar baru-baru ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.