30 Disember 2023, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan hadir menyempurnakan majlis pelancaran program Cuti-Cuti Yunnan di Raudhah al-Miqyas (RAMI), Bandar Baru Bangi pada pagi tadi.

Program Cuti-Cuti Yunnan merupakan pakej pelancongan yang ditawarkan hasil kerjasama antara Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) dengan Safwah Travel Tours Sdn. Bhd. dan Strategic Yunnan Consulting (Malaysia) Sdn. Bhd.

YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika berucap menyempurnakan majlis pelancaran program Cuti-Cuti Yunnan.

Program Cuti-Cuti Yunnan ditawarkan bertujuan untuk menggalakkan hubungan dua hala antara Malaysia-China menerusi segmen pelancongan dengan mengangkat sejarah silam berkaitan dengan Laksamana Cheng Ho dan kepentingan masyarakat yang saling mengenali dalam mengeratkan hubungan dua tamadun tersebut. Program ini juga diadakan bersempena dengan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China ke-50 pada tahun 2024.

Menerusi ucapan perasmian beliau, YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyifatkan bahawa program Cuti-Cuti Yunnan dan kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat merupakan satu bentuk kerjasama strategik pintar untuk mengangkat gerakan ketamadunan yang penting selain bidang ekonomi.

“Bidang ini penting kerana tamadun merupakan asas yang dapat memenuhi taklif (tanggungjawab) kita yang dijadikan oleh Allah SWT untuk saling berkenalan supaya wujud persefahaman dan persatuan sejagat agar tidak berlaku keadaan yang dikatakan sebagai kesenjangan tamadun sehingga menyebabkan permusuhan,” kata YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Tambah beliau, “Kajian perbandingan antara tamadun khususnya tamadun China dapat mewujudkan keakraban hubungan dengan menumpukan pada persamaan yang ada melalui penonjolan sisi-sisi positif. Kajian ketamadunan juga melihat bagaimana kita memanfaatkan kekuatan tamadun lain bagi membantu kemajuan tamadun kita.”

YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga sempat berkongsi pengalaman serta pemerhatian beliau ketika berkhidmat sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China pada tahun 2008 hingga tahun 2011 dan pada tahun 2016 hingga tahun 2018.

“Sangat penting untuk kita mengadakan ziarah yang teratur dan terancang kerana negara China sangat luas. Persepsi dan pemahaman saya berubah ke arah yang lebih positif terutamanya tentang perkembangan Islam dan kehidupan komuniti Islam di China apabila saya sempat melawat beberapa penempatan komuniti Islam ketika berkhidmat di sana,” ujar YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Grup Penjejak Tamadun Dunia dengan Safwah Travel Tours Sdn. Bhd. dan Strategic Yunnan Consulting (Malaysia) Sdn. Bhd.

YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menceritakan perihal fenomena jemaah yang memenuhi masjid pada waktu solat fardu serta budaya infak yang sangat dititikberatkan oleh masyarakat Muslim di China untuk membangunkan komuniti.

Pada majlis perasmian pelancaran program Cuti-Cuti Yunnan tersebut, turut diadakan acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Grup Penjejak Tamadun Dunia dengan Safwah Travel Tours Sdn. Bhd. dan Strategic Yunnan Consulting (Malaysia) Sdn. Bhd. sebagai simbolik kerjasama yang terjalin.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian pelancaran program Cuti-Cuti Yunnan tersebut termasuklah Presiden Dewan Perniagaan Ekonomi Global Malaysia (MGECC), Encik Jamil Bakri; Pengarah Strategic Yunnan Consultant, ⁠Encik Fahami Shani; Pengerusi GPTD, Encik Muhammad Suhail Ahmad; ⁠Presiden GPTD, Encik Muhammad Alif Fitri Abdul Halim; dan ⁠Pengarah Safwah Travel & Tours, Encik Mustafa Kamal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.