28 Disember 2023, 18:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Nuramrul Amri Chan, 41 tahun diumumkan sebagai penerima Anugerah Peserta Terbaik Taman Desa Asnaf (TDA) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi tahun 2023.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua telah berkenan berangkat hadir bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan berupa wang tunai RM1,000, cenderamata dan sijil daripada MAIPs kepada beliau dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Negeri Arau baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Nuramrul Amri merupakan seorang daripada peserta Taman Desa Asnaf (TDA) Batu Bertangkup terawal sejak bermulanya pembinaan TDA hingga kini dan merupakan ketua penduduk dan ketua di ladang TDA selama 10 tahun.

Menurut Mohd Nazim, Nuramrul Amri banyak membantu khususnya dari segi pengurusan ladang dan kediaman TDA dari pelbagai sudut, termasuklah aktiviti di taman yang memerlukan pelibatan seluruh keluarga peserta dan pengurusan peserta di ladang.

“Selain itu, Nuramrul Amri turut memiliki kelebihan sebagai seorang imam serta berbakat dalam pengucapan umum serta pengurusan majlis, dan kini beliau juga merupakan seorang daripada pegawai khas dalam pentadbiran kerajaan negeri Perlis,” katanya lagi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada asnaf terpilih.

Isteri beliau juga merupakan ketua kaum wanita di TDA, serta melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai bengkel latihan yang dianjurkan di taman itu.

Beliau juga merupakan pengusaha kraf tangan dan bonsai kelapa. Antara kraf tangan utama yang diusahakan termasuklah tanjak Perlis “Putra Julang Darjat”, samping dan bengkung.

Lebih membanggakan beliau telah mempunyai jenama sendiri, iaitu “Tok Togok” yang difahamkan telah diambil daripada nama panggilan atuk beliau yang merupakan seorang yang berpengaruh pada suatu ketika dahulu di Kuala Perlis.

Anak-anak Nuramrul juga begitu menyerlah dalam bidang akademik dan kokurikulum di sekolah masing-masing.

Usaha dan sikap sebegini harus dicontohi semua pihak dan merupakan tuntutan dalam Islam.

Pada program yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM700 setiap seorang kepada asnaf terpilih daripada kariah Kota Raja Arau 1 dan kariah Kota Raja Arau 2 dengan jumlah penuh disalurkan oleh MAIPs pada sesi tersebut kali ini bernilai RM98,000.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.