22 Disember 2023, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 akan dilaksanakan pada 2 hingga 4 Januari dan 8 hingga 11 Januari 2024, melibatkan 4058 orang calon berdaftar di 131 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Sebanyak 824 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut.

Demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada hari ini.

KPM mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat tentang tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan tersebut berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan, selain mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan tersebut.

KPM juga cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana, termasuk banjir sepanjang peperiksaan berkenaan berlangsung.

“Semua calon peperiksaan STAM dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan yang berhampiran disebabkan oleh bencana.

“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam hal ini, KPM akan sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya, termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.

KPM juga komited melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur dan mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.