Oleh Abd Razak Osman
7 Disember 2023, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sultan Kedah (tengah) bergambar kenangan dengan wakil dari syarikat berkenaan sempena Majlis Penghargaan Pembayar Zakat Korporat LZNK dan Ramah Mesra Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah di Diamond Ballroom Avante Hotel Petaling Jaya, Selangor.

Petaling Jaya – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerima zakat perniagaan daripada 10 buah syarikat korporat berjumlah RM18,815,794.32 dalam majlis yang berlangsung di Diamond Ballroom, Avante Hotel, Petaling Jaya, semalam.

Penyerahan tersebut diadakan sempena Majlis Penghargaan Pembayar Zakat Korporat  LZNK dan Ramah Mesra Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar inisiatif baharu LZNK ini akan memberikan manfaat kepada golongan asnaf, terutama orang miskin untuk terus menumpang teduh di negeri Kedah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YBhg. Datuk Norizan Khazali merangkap Pengerusi LZNK berkata, majlis ini merupakan majlis yang julung-julung kali diadakan oleh LZNK di luar negeri Kedah yang menghimpunkan tokoh-tokoh korporat dalam kalangan anak-anak Kedah.

“Majlis pada kali ini telah menghimpunkan anak-anak Kedah daripada pelbagai latar belakang, antaranya wakil-wakil institusi kewangan, perbankan dan takaful, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan persekutuan dan negeri, rakan-rakan strategik LZNK, serta tokoh anak-anak Kedah yang berjaya sebagai  ahli perniagaan, ahli akademik dan ahli agamawan dan menetap di sekitar Lembah Klang,” tambahnya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kutipan zakat di Kedah hingga 6 Disember 2023 telah pun mencecah sebanyak RM206 juta berbanding dengan jumlah kutipan pada tarikh yang sama tahun lepas, iaitu sebanyak RM200 juta.

Tambahnya lagi, “Daripada keseluruhan jumlah kutipan zakat tersebut, kategori zakat perniagaan telah mencatatkan sebagai kategori zakat yang kedua tertinggi selepas zakat pendapatan, iaitu sebanyak 16 peratus daripada kutipan zakat keseluruhan berjumlah RM33 juta.”

Sementara itu, jumlah wang zakat yang telah diagihkan kepada golongan asnaf di Kedah adalah sebanyak RM260 juta, melebihi kutipan zakat semasa.

Turut hadir ialah Tuanku Raja Muda Kedah,  Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Mufti Negeri Kedah, Sahibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Haji Fadzil Haji Awang, Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Yang Amat Arif Dato’ Syeikh Haji Abd Rahman Haji Abdullah, dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, YBhg. Dato’ Syeikh Haji Zakaria Othman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.