30 November 2023, 13:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menerima sembah menghadap delegasi daripada Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) di Istana Arau.

Majlis sembah menghadap hormat delegasi GASIS ini diketuai oleh Dr. Nik Noor Azlida Datuk Husain dan 50 orang peserta yang lain.

GASIS berada di negeri Perlis sempena program “Jaulah Qiadi GASIS 2023”, iaitu program tahunan yang bertujuan untuk bermusafir bagi mencari ilmu yang bermanfaat untuk diterapkan dalam diri sebagai pemimpin dan juga pendidik.

Antara objektif program ini termasuklah mewujudkan jalinan kerjasama antara GASIS dengan institusi serta organisasi yang dilawati, mengikat ukhuwah antara ahli, serta membentuk mentaliti dan cara kerja berkepimpinan.

Dr. Nik Noor Azlida dalam sembah ucapannya kepada baginda berdua menyatakan bahawa penubuhan GASIS bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dan menjadi pengantara antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan sekolah-sekolah Islam di Selangor.

Deligasi GASIS merakamkan gambar kenangan bersama-sama Raja Muda Perlis,  Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi baginda berdua memaklumkan bahawa pihak MAIPs memainkan peranan untuk membantu mempertingkatkan sosioekonomi umat Islam melalui pelbagai bidang, termasuklah pendidikan. MAIPs sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha elemen pemantapan pendidikan di negeri Perlis.

Antaranya termasuklah pengukuhan pendidikan agama Islam melalui pelbagai inisiatif ke arah memantapkan pengurusan di samping memberikan penyaluran sumbangan terhadap pelbagai aktiviti pendidikan di 23 buah sekolah agama di negeri Perlis yang berdaftar.

“Selain itu, Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua MAIPs sering kali memberikan perhatian terhadap usaha untuk mempertingkatkan lagi kecemerlangan akademik di negeri Perlis” tambah beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.