Oleh Aisyah A.
28 November 2023, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Selain berperanan untuk mengutip dan mengagihkan zakat serta mengurus asnaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga diberikan amanah sebagai ejen untuk mengurus Wang Tidak Patuh Syariah (WTPS), iaitu wang haram yang diperoleh dengan cara yang tidak dibenarkan atau dilarang dalam Islam.

Demikian dijelaskan oleh Ustaz Abd Halim Abu Bakar, Eksekutif Kanan Perunding Zakat LZS menerusi Program Bual Bicara yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bertajuk “Peranan Lembaga Zakat Selangor sebagai Ejen Kutipan Wang Tidak Patuh Syariah (WTPS)” yang disiarkan di platform media sosial MAIS, iaitu Facebook dan TikTok pada pagi tadi.

Ustaz Abd Halim Abu Bakar, Eksekutif Kanan Perunding Zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Program yang dihoskan oleh Ketua Zon Selatan Baitulmal Daerah, Ustaz Mohd Hilmi Jamaluddin itu bertujuan untuk memberikan percambahan idea kepada pengguna media sosial selari dengan aktiviti MAIS yang kini sedang dalam kempen kesedaran penyaluran wang tidak patuh syariah.

Mengulas lanjut berkenaan dengan wang haram, Ustaz Abd Halim Abu Bakar menjelaskan bahawa kategori wang haram termasuklah wang hasil daripada riba, gharar, wang yang diperoleh daripada penipuan, rampasan, monopoli barangan, rasuah dan perniagaan tidak patuh syariah serta boleh mendatangkan kemudaratan, sebagaimana yang digariskan oleh Imam Syafii.

“Contohnya, sekiranya seseorang individu memperoleh RM200 ribu hasil daripada jualan arak, wang tersebut ialah wang haram dan perlu diserahkan semuanya kepada baitulmal dan individu tersebut mesti dianggap sebagai fakir miskin.

“Individu tersebut perlulah diberikan bantuan makanan, tempat tinggal dan keperluan asas yang lain bagi memastikan kebajikannya terus terjaga sehinggalah dia mendapat pekerjaan lain yang memberikan gaji yang halal,” katanya.

Menurut beliau, fungsi zakat adalah untuk menegakkan rukun Islam, sebagai lambang kasih sayang dan taat kepada pemerintah, menyucikan diri daripada sifat bakhil atau kedekut serta untuk menjana ekonomi. Oleh itu, zakat mestilah daripada sumber rezeki yang baik dan diusahakan secara halal.

“Satu-satunya cara untuk menyucikan harta daripada sumber yang haram adalah dengan menyerahkan semua harta daripada sumber yang haram tersebut kepada baitulmal atau wakil pemerintah.

“Tambahan pula, situasi negara kini bukanlah dalam keadaan darurat yang memberikan keringanan untuk menjana pendapatan daripada sumber yang haram,” katanya.

Dalam hal ini, LZS berperanan untuk menyedarkan masyarakat berkenaan dengan WTPS dengan cara memperkenalkan kaunter zakat atau barisan hadapan zakat seluruh Selangor yang berfungsi untuk mengutip WTPS tanpa mengira amaun dan dimasukkan ke dalam akaun MAIS untuk diurus lanjut.

LZS juga berperanan untuk memberikan nasihat kepada pelanggan supaya menghentikan pendapatan daripada sumber yang tidak patuh syariah.

Unit Kutipan melalui Jabatan Pemasaran akan mempromosikan produk yang patuh syariah dan menepati fatwa kepada umum dan segala informasi terkini akan diurus oleh Jabatan Perundingan Zakat yang juga menyediakan bimbingan dan cara bayar zakat selain rundingan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.