24 November 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam ayat 15 Surah al-Hujurat:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang mukmin yang sebenarnya ialah mereka yang beriman dengan Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang yang benar.”

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama utama negara Malaysia yang menjadi anutan kebanyakan penduduknya tanpa menafikan hak beragama kaum lain. Seiring dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi yang melambangkan ketinggian serta keutamaannya, sudah semestinya kesucian agama Islam perlu dipelihara dan dipertahankan daripada sebarang bentuk penyelewengan yang menyimpang daripada hakikat kesucian yang sebenar demi kelangsungan keharmonian hidup yang telah dikecap selama ini.

Akidah Islam yang benar ialah meyakini rukun iman yang enam berpandukan kepada al-Quran dan sunah serta ikutan atau mazhab imam akidah Ahli Sunah Waljamaah yang disepakati. Penyelewengan akidah dalam hal memahami agama sering kali berlaku kerana kesalahan mentafsirkan al-Quran dan sunah tanpa mengikut kaedah yang betul. Kesannya muncul pelbagai ajaran baharu yang disifatkan sesat kerana didasari keyakinan syirik dan menyanggah keesaan Allah Azzawajalla.

Mesyuarat yang diwakili menteri-menteri agama dari negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura telah memutuskan beberapa ciri ajaran yang menyimpang daripada Islam dan telah diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994, iaitu:

Pertama: Kepercayaan yang menyalahi tuntutan rukun iman dan asas-asas akidah serta bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

Kedua: Mempertikaikan sumber utama syariat Islam seperti meragui kebenaran wahyu al-Quran dan menafikan kesahihan hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW.

Ketiga: Mendakwa diri sebagai nabi, Imam Mahdi atau menerima wahyu sama ada secara peribadi ataupun berkumpulan.

Keempat: Meletakkan kedudukan agama Islam setaraf dengan agama-agama lain yang ada dan mempercayai bahawa agama tersebut wajar menjadi anutan kepada manusia.

Kelima: Sikap taasub dan mendewakan diri sendiri atau pemimpin bahawa mereka dilengkapi dengan ciri sebagai ahli syurga, penebus dosa serta mempunyai keistimewaan khusus sekalipun melanggar batasan syarak.

Keenam: Mereka cipta pelbagai hukum baharu yang bertentangan dengan maqasid syariah dan tidak disandarkan kepada sumber hukum yang disepakati serta menafikan kewajipan pelbagai jenis ibadat fardu.

Penyelewengan akidah sering kali berlaku kerana kesalahan mentafsirkan al-Quran dan sunah tanpa mengikut kaedah yang betul.

Ciri kesesatan yang paling berbahaya dan merosakkan kejernihan akidah adalah apabila hal tersebut lahir dalam bentuk menyekutukan Allah secara sedar atau tidak sedar. Pengaruhnya amat membimbangkan kerana boleh menyasarkan perjalanan hidup umat Islam sehingga membawa kepada kesesatan yang amat merugikan. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sebesar-besar dosa adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Umat Islam diseru agar berwaspada dengan kumpulan ajaran sesat yang telah bertapak di negara ini yang telah diputuskan sebagai sesat dan menyeleweng daripada agama Islam yang sebenar, antaranya termasuklah:

Pertama: Ajaran SiHulk yang mendakwa bahawa Nabi Muhammad SAW ialah Tuhan dan Baginda tidak mempunyai jantina, iaitu bukan lelaki dan juga bukan perempuan. Fahaman ajaran ini sebenarnya menyalahi pegangan Ahli Sunah Waljamaah dan sesat lagi menyesatkan. Mereka licik mengambil kesempatan dengan mempergunakan alasan agama apabila menjual sejenis ubat yang didakwa boleh merawat pelbagai penyakit.

Kedua: Ajaran Allah Muhammad, Muhammad Allah (AMMA) yang didapati bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Mereka telah menterjemahkan kalimah syahadah mengikut kefahaman mereka sendiri dan bercanggah dengan terjemahan yang sepatutnya. Mereka juga berkeyakinan bahawa ayat-ayat al-Quran tidak tepat penulisannya kerana ditulis pada kulit dan tulang binatang. Mereka turut berkeyakinan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah dilantik sebagai rasul dan tidak menerima apa-apa wahyu daripada Allah SWT.

Umat Islam yang telah terseleweng daripada ajaran agama yang sebenar hendaklah bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Ajaran sesat dan menyeleweng daripada akidah yang benar ini akan memberikan kesan yang buruk dalam pelbagai segi kehidupan. Ambillah iktibar daripada kesesatan Bani Israel yang telah diselamatkan oleh Nabi Musa a.s. daripada perhambaan dan penderaan yang dilakukan oleh Firaun ke atas mereka. Bani Israel telah melihat sendiri mukjizat kebenaran Nabi Musa apabila baginda berupaya membelah Laut Merah untuk menyelamatkan mereka daripada Firaun. Malangnya, mereka tetap dengan sikap untuk tidak mengikuti dakwah Nabi Musa a.s. dengan menyembah anak lembu dan mengubah isi kandungan kitab Taurat. Akhirnya perbuatan menafikan keesaan Allah dan kerasulan Nabi Musa telah menjadikan mereka kaum yang dilaknat oleh Allah SWT.

Kesesatan akan melorongkan kehidupan ke arah yang lebih sukar. Pengikut ajaran sesat diberikan ancaman dengan dosa besar. Mereka juga akan menghadapi risiko ditipu, diperalatkan, kehilangan wang ringgit, dan kerahan tenaga atas alasan ketaatan dan kesetiaan kepada pemimpinnya. Kewujudan ajaran sesat juga boleh menimbulkan kerisauan dan mengganggu kestabilan umat Islam dan berpotensi untuk menggugat keselamatan negara. Oleh itu, umat Islam dinasihati agar sentiasa berhati-hati dan melakukan tindakan yang dapat menghindarkan diri daripada kesesatan, iaitu antaranya termasuklah:

Pertama: Mendalami ilmu tauhid berasaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi tunjang dalam pembentukan jati diri agar tidak mudah terpengaruh dan terjebak dalam kumpulan ajaran seperti ini.

Kedua: Rujuk pihak berkuasa agama sekiranya ragu-ragu terhadap mana-mana pihak yang cuba mempengaruhi umat Islam untuk mengikuti ajaran mereka.

Ketiga: Segera bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT sekiranya diri telah terjebak dengan pengaruh ajaran sesat dan segeralah kembali kepada ajaran agama yang sebenar.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bimbing kehidupan kami agar percakapan, perlakuan dan tindakan senantiasa berpaksikan fahaman Islam yang sebenar. Jauhi kami dan ahli keluarga kami daripada terlibat dengan mana-mana ajaran sesat yang merosakkan. Kekalkan nikmat keamanan dan kemakmuran kepada negara kami agar kami hidup harmoni dan saling menghormati.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat 24 November 2024, “Berwaspada terhadap Penyelewengan Akidah”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.