20 November 2023, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Ke-20 yang berlangsung pada 16 November 2023 di Singapura telah melancarkan satu produk hasil bersama setiap negara anggota MABIMS, iaitu buku Tafsir Ilmi (Ayat-ayat Kauniyyat) dalam bentuk e-book.

Buku ini bertemakan penciptaan alam yang menggambarkan kekuasaan, keindahan dan keagungan Allah SWT dari perspektif al-Quran melalui pendekatan untuk bacaan umum, sambil mengajak masyarakat untuk mengagungkan al-Quran sebagai sumber petunjuk dan inspirasi kemajuan umat dan peradaban manusia.

Satu Memorandum Persefahaman Halal MABIMS turut ditandatangani semasa mesyuarat pada kali ini.

Dalam satu kenyataan media bersama MABIMS, dimaklumkan bahawa memorandum antara Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Kementerian Agama Republik Indonesia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Ugama Islam Singapura tersebut mencerminkan adanya persefahaman dan ikatan yang erat dalam pembangunan bidang halal antara negara anggota MABIMS.

Mesyuarat yang berlangsung semasa Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) ke-20.

Antaranya termasuk pertukaran maklumat dan kepakaran dalam bidang pensijilan halal, serta pertukaran hasil penyelidikan dan kajian aspek syariah, sains dan teknikal.

Dalam mesyuarat tersebut, para menteri membincangkan perkembangan terkini masyarakat Islam di rantau ini, khususnya tentang kemajuan program kerjasama berbentuk fokus strategik yang dijalankan setiap negara di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025.

Mesyuarat kali ini juga memperbaharui komitmen untuk mengukuhkan lagi kerjasama bagi merealisasikan lebih banyak kerjasama antara anggota MABIMS termasuklah perkembangan platform digital.

Para menteri turut bersepakat mengajak seluruh umat Islam di rantau ini untuk terus konsisten berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar mengembalikan keamanan dan melenyapkan segala kezaliman lantas meringankan penderitaan mereka yang terjejas.

Pertemuan kali ini dipengerusikan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura, YBhg Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Mesyuarat dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, YB Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Wakil Menteri Agama Republik Indonesia, Yang Terhormat Bapak Haji Syaiful Rachmat Dasuki; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar selaku ahli Pertemuan MABIMS; serta Menteri Kanan, Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kerajaan Kemboja selaku negara pemerhati, YB Neak Okhna Datuk Dr. Othsman Hassan.

Sumber: Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.