Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Mudir Pusat Pengajian Al-Qari Kuala Lumpur, Zainur Irsyadi Zainol telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Bilal bin Rabah dan juara muazin Kategori Bilal dalam program Muazin: Gegaran Sampai ke Langit pada Isnin lalu yang telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000 dan tajaan pakej umrah.
Naib juara muazin Kategori Bilal pula dimenangi oleh guru Pendidikan Islam, Faris Hadi Taufiq yang menerima wang tunai berjumlah RM5,000; manakala pelajar universiti, Muhammad ‘Ammar Mukhlis pula memenangi tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM3,000.
Sementara itu, pertandingan muazin bagi Kategori Bilal Junior pula diadakan pada hari Ahad lalu yang menyaksikan adik Ahmad Azfar Azraie telah dinobatkan sebagai juara muazin dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 serta pakej tajaan umrah.
Naib johan muazin Kategori Bilal Junior pula telah dimenangi oleh adik Muhammad Haneef yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000 sementara tempat ketiga pula disandang oleh adik Muhammad Zharief Naufal yang menerima RM2,000.
Program Muazin: Gegaran Sampai ke Langit terbitan Suhan Channel itu mengangkat keindahan seni azan yang secara tidak langsung memberikan kesedaran tentang kepentingan setiap kalimah yang dilafazkan dalam azan memberikan makna mendalam bagi umat Islam menunaikan solat.
Pada pentas akhir pertandingan tersebut, seramai enam orang peserta bagi setiap kategori telah berentap melaungkan azan dengan diadili oleh tiga orang juri, iaitu Ustaz Tarmizi Abd Rahman, Ustaz Mohamad Zarifi Haji Mohamad Daud dan Ustaz Amir.
Pentas akhir tersebut bersiaran secara langsung melalui saluran TVAlhijrah dan turut disiarkan secara dalam talian melalui laman Facebooknya.