10 November 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

 

Maksudnya: “Sesungguhnya hari kiamat itu pasti akan datang. Aku sengaja merahsiakan masa kedatangannya agar setiap orang dibalas sesuai dengan apa-apa yang diusahakan.”

(Surah Taha 20:15)

Setiap mukmin wajib meyakini bahawa kehidupan di dunia hanya sementara, manakala kematian itu suatu kepastian. Kematian ialah permulaan kepada terputusnya segala nikmat kehidupan dunia. Namun begitu, kematian bukanlah penamat kehidupan, bahkan merupakan permulaan menuju kehidupan yang kekal abadi; kehidupan yang bermula dari alam kubur hingga berlaku kiamat, disusuli hari kebangkitan, hari perhimpunan di padang mahsyar, hari berlakunya perhitungan timbangan amal; sehingga mendapat ketentuan Ilahi sama ada kita terpilih sebagai penghuni syurga ataupun pun dicampakkan ke neraka jahanam. Semoga kita dilindungi daripada azab api neraka.

Mengingati kematian membolehkan seseorang insaf akan pentingnya melakukan persiapan. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a.:

Maksudnya: “Aku pernah bersama-sama Rasulullah SAW, lalu datang seorang lelaki daripada kaum Ansar mengucapkan salam kepada Baginda, lalu bertanya: ‘Orang beriman manakah yang paling cerdas?’ Baginda menjawab: ‘Yang paling banyak mengingati kematian dan paling baik persiapannya menuju kematian, merekalah yang paling cerdas.’”

(Hadis riwayat Ibn Majah)

Perjalanan menuju akhirat dipenuhi dengan pelbagai ujian. Ibarat musafir yang menempuh perjalanan jauh lagi berliku, sudah tentu memerlukan persiapan bekalan yang mencukupi. Bekalan perjalanan akhirat bukanlah harta dan wang ringgit, pangkat atau jawatan, ataupun gelaran dan kemasyhuran, tetapi berbekalkan akidah yang benar, iaitu membenarkan Allah yang Maha Esa dan tidak mensyirikkan-Nya, melakukan amalan soleh yang diperintahkan, serta bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya. Kehidupan di dunia hendaklah dimanfaatkan sebagai ladang untuk bercucuk tanam, yang hasilnya bakal dituai di alam akhirat.

Umat Islam pada setiap masa wajib insaf, mempersiapkan diri untuk menemui perjalanan ke akhirat yang mungkin berlaku pada bila-bila masa. Semoga ketika sampai saat kita dipanggil kembali ke rahmatullah, kita tidak berasa cemas dan gentar untuk menghadap Ilahi, disebabkan dosa daripada pelbagai sikap dan amalan buruk yang dilakukan semasa melalui kehidupan di dunia. Insaflah kematian itu semakin hari semakin hampir dengan kita. Oleh itu, adakah kita masih memilih mahu berdendam sesama insan dan terus bermusuhan? Adakah kita masih mahu menipu, mengambil harta orang lain, melakukan rasuah dan pecah amanah? Adakah kita memilih sengaja melengah dan tidak mahu membayar hutang dan terus memungkiri janji? Adakah kita berterusan mengadu domba dan menyebarkan fitnah? Adakah kita mahu bersifat anak derhaka?

Ibadat pertama yang akan dihisab di mahkamah Allah ialah solat.

Adakah kita masih alpa dan cuai daripada menunaikan solat dan zakat? Insaflah bahawa kesemua perbuatan dan sifat sedemikian akan menyukarkan perjalanan menuju akhirat.

Ibadat pertama yang akan dihisab di mahkamah Allah ialah solat. Menjadi kewajipan umat Islam untuk memastikan ibadat solat disempurnakan mengikut waktunya dengan mematuhi semua rukun yang ditetapkan. Solat merupakan prasyarat sebelum amalan lain ditimbang di mahkamah Allah SWT.

Beruntunglah orang beriman kerana kematian tidak memutuskan semua amalannya. Peluang menambah amalan mahupun mendapat keampunan selepas kematian dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa apabila mati, semua amalan anak Adam akan terputus melainkan tiga perkara, iaitu pertama, sedekah jariah (yang berterusan digunakan); kedua, ilmu yang bermanfaat; dan ketiga, anak soleh yang mendoakan kesejahteraan kedua-dua ibu bapanya. Perbanyakkan tiga usaha ini terutama mempersiapkan anak-anak dengan penguasaan ilmu dan keimanan yang teguh.

Selain itu, doa orang beriman juga dapat membantu mereka yang telah mati mendapat kebaikan bahkan diampuni dosanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Berkata Jibril a.s., ‘Sesungguhnya Tuhanmu memerintahkan kamu menziarahi perkuburan ahli Baqi‘ dan pohonlah keampunan untuk mereka.’” (Hadis riwayat Muslim).

Amalan sedekah mempunyai banyak kelebihan, antaranya termasuklah menjadi hadiah pahala kepada orang yang sudah meninggal dunia. “Daripada Abdullah bin Abbas r.a. bahawa ibu Sa‘ad bin Ubadah r.a. meninggal dunia ketika beliau tiada (pada saat kematian ibunya). Lalu Sa‘ad bin Ubadah r.a. datang kepada Nabi Muhammad SAW dan bertanya, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal, sedang aku tidak ada ketika kematiannya, adakah jika aku bersedekah untuknya bermanfaat baginya?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Ya.’ Lalu Saad berkata: ‘Saksikanlah, bahawa kebunku yang banyak buahnya, aku sedekahkan pahala untuknya.’” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Pahala bersedekah boleh dihadiahkan oleh orang yang masih hidup kepada orang telah meninggal dunia.

Satu lagi amalan yang boleh dilakukan oleh orang yang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia ialah membaca al-Quran, dan berniat menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada roh orang yang telah meninggal dunia. Amalan ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama, namun Imam Ahmad bin Hanbal dan sebahagian tokoh utama mazhab al-Syafii berpandangan bahaw pahalanya akan sampai kepada si mati. Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar menganjurkan agar memohon kepada Allah SWT supaya pahala bacaan al-Quran sampai kepada roh si mati.

Bagi menjauhi pertelingkahan dalam urusan pembahagian harta warisan, umat Islam dianjurkan agar membuat perancangan pengurusan harta untuk waris yang masih hidup, dengan tujuan untuk memudahkan pengurusan pembahagian harta untuk diagihkan secara adil dan saksama. Pengurusan pembahagian harta yang teratur boleh dilaksanakan melalui kaedah hibah, wasiat atau pembahagian harta menurut hukum faraid. Amalan-amalan tersebut membuktikan bahawa Islam bukan hanya mengatur kehidupan orang yang hidup, malah mengambil kira menyediakan panduan apabila mereka kembali ke rahmatullah.

Kesimpulannya, kematian datang tanpa diduga. Beruntunglah orang yang sudah mempersiapkan dirinya dengan amal kebaikan. Beruntunglah mereka yang berada dalam ketenangan dan reda, ketika menyahut seruan Ilahi untuk kembali kepada penciptanya. Firman Allah SWT:

Maksudnya, “… Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-Ku (yang berbahagia). Dan masuklah ke dalam syurga-Ku!.”

(Surah al-Fajr 89:27-30).

Mimbar menyeru para jemaah agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bimbing kehidupan kami agar setiap saat dimanfaatkan dengan melakukan amal makruf sebagai bekalan menuju ke syurga-Mu. Mudahkan perjalanan terakhir kami sewaktu ditetapkan untuk kembali ke rahmatullah. Dan limpahi roh kami ketika berada di alam barzakh dengan limpah ihsan rahmat-Mu bagaikan berada di dalam taman syurga-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat “Perjalanan Menuju Akhirat” 10 November 2023, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.