3 November 2023, 21:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan sebanyak RM1.12 juta kepada umat Islam di Palestin dalam “Fi Sabillilah Misi Kemanusiaan MAIPs ke Gaza”.

Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Haji Hazman Hassan; Mufti Perlis, Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Jelas Mohd Nazim, MAIPs telah bersetuju menyampaikan sumbangan tersebut di bawah peruntukan Fi Sabilillah yang jelas dan selari dengan tujuan agihan zakat serta bekerjasama dengan Wisma Putra dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memudahkan urusan sumbangan..

Tambah beliau, RM1 juta daripada sumbangan tersebut adalah daripada dana sedia ada MAIPs selain RM120,000 sumbangan masyarakat dan NGO melalui Tabung Aqsa MAIPs.

“Agihan Sumbangan dan bantuan ini akan diserahkan melalui Tabung Musaadah JAKIM – Yayasan Waqaf Malaysia dan akan diagihkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikenal pasti dapat menyampaikan bantuan secara terus kepada penduduk Gaza,” katanya

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs mengingatkan rakyat negeri Perlis yang ingin membuat sumbangan agar hanya menyalurkan sumbangan kepada pihak yang telah diberikan tanggungjawab oleh kerajaan untuk menyampaikan sumbangan secara terus kepada saudara seislam di Gaza.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada seorang daripada asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis.

Baginda bertitah agar rakyat Malaysia akan terus bersoladiriti untuk rakyat Palestin tanpa mengira agama dan bangsa serta memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.

“Meskipun kita tidak dapat membantu di sana secara fizikal, doa dan hati kita akan sentiasa bersama mereka,” titah baginda.

Pada program yang sama, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM400 setiap seorang kepada 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut dengan jumlah penuh bernilai RM8,000.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.