Oleh Nimoiz T.Y.
29 Oktober 2023, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

IPOH – Serangan tentera Israel di semenanjung Gaza telah menyebabkan kematian ribuan nyawa. Terkini, tentera Zionis sedang giat melancarkan serangan termasuklah hospital dan kawasan awam sehingga meragut nyawa kanak-kanak, wanita dan warga emas. Serangan ganas ini juga telah mengakibatkan kemusnahan rumah, kehilangan tempat tinggal dan terputusnya bekalan air dan elektrik. Sebagai tanda solidariti, sebanyak 2000 mahasiswa dan kakitangan Politeknik berhimpun di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) menyatakan pendirian menyokong Palestin.

Program yang diberikan nama “Himpunan Solidariti Politeknik Ungku Omar bersama Palestin” ini telah diadakan pada 27 Oktober 2023. Program ini merupakan tanda manifestasi keprihatinan dan kecaknaan warga PUO akan hal-hal global. Hal ini penting untuk memberikan kefahaman sebenar dan memupuk sifat cakna akan isu-isu global selain penerapan ilmu pengetahuan dan teknikal. Program sebegini selaras dengan hasrat negara dalam usaha memberdayakan mahasiswa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang holistik selain pembentukan jati diri ke arah melahirkan modal insan negara.

Mahasiswa dan kakitangan Politeknik berhimpun di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) bagi menyatakan pendirian menyokong Palestin.

Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PUO ini telah dianjurkan secara bersama dengan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE). MyCare sebagai sebuah pertubuhan berdaftar yang tidak asing lagi turut memiliki pejabat di Gaza. Pertubuhan ini banyak menyalurkan dana dan misi bantuan kepada warga Palestin sejak sekian lama, termasuklah menyediakan tempat perlindungan sementara, pembinaan semula rumah yang musnah, membekalkan makanan dan minuman dan lain-lain misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin. Turut diadakan ialah pidato khas yang disampaikan oleh aktivis MyCare, iaitu Ir. Haji Megat Shariffudin yang berkongsi situasi getir dan terkini tentang situasi yang berlaku di Gaza. Turut hadir ialah Dr. Shamsuri Abdullah, Pengarah Politeknik Ungku Omar dan pengurusan tertinggi PUO.

Dalam himpunan ini, turut dilancarkan Tabung Khas Bantuan Untuk Palestin yang diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Turut diadakan ialah pameran berkaitan dengan Palestin untuk memupuk semangat cintakan keamanan dan kedamaian dalam kalangan mahasiswa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.