28 Oktober 2023, 23:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertubuhan Ilmu Salaf Dot Com (ISDC) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP menganjurkan Konvensyen Ilmu Sunah Peringkat Kebangsaan 2023 yang bertempat di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP siang tadi.

Konvensyen yang bertemakan “Ikatan Persaudaraan Para Sahabat dalam Menentukan Perpaduan Ummah” itu bertujuan untuk memperkenalkan serta menyebarluaskan gagasan perjuangan ilmu sunah agar dapat dicontohi dan diamalkan oleh masyarakat hari ini, khususnya para peserta konvensyen.

Pengerusi Pertubuhan ISDC, YBhg. Datuk Ahmad Tajuddin Idris ketika merasmikan pembukaan konvensyen berharap agar para peserta dapat mengambil manfaat daripada konvensyen tersebut, dan mampu menjadi contoh teladan yang baik kepada ahli keluarga, rakan-rakan  dan para pelajar di sekolah, seterusnya di komuniti setempat.

Selain itu, mereka juga diharap mampu menjadi penghubung dan perantara dalam usaha merealisasikan objektif serta fungsi sebagai duta konvensyen tersebut.

Pengerusi Pertubuhan ISDC, YBhg. Datuk Ahmad Tajuddin Idris ketika merasmikan pembukaan Konvensyen Ilmu Sunah 2023 di DBP.

“Semoga segala maklumat yang diperoleh sepanjang persidangan pada kali ini dapat dikongsikan kepada keluarga serta rakan-rakan, khususnya para sahabat pada pelbagai peringkat,” katanya.

Tambah beliau, hasil komitmen padu daripada semua pihak, khususnya ahli panel, satu dokumen resolusi yang mengandungi keutamaan persahabatan dan persaudaraan akan didokumenkan.

“Insya-Allah, resolusi ini akan disemak pada peringkat asatizah, pertubuhan dan akan diangkat kepada liqa’ untuk dipanjangkan kepada jaringan persaudaraan yang berkaitan,” katanya.

Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Puan Roziah Md Yunus.

Sementara itu, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Puan Roziah Md Yunus dalam ucapan sambutan mewakili Ketua Pengarah DBP berkata bahawa DBP menyambut baik usaha ISDC untuk mengadakan kerjasama tersebut yang selaras dengan fungsi DBP untuk mempelbagaikan kegiatan menyebarluaskan bahasa dan sastera kebangsaan, khususnya melalui pelbagai medium sama ada dalam bentuk kegiatan penggalakan, penyebaran, pengiktirafan mahupun pemupukan.

Tambah beliau, hal tersebut bagi memastikan agenda untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu terlaksana pada peringkat kebangsaaan dan merentas pelbagai bidang ilmu.

“Melalui konvensyen ini, pelbagai pihak khususnya dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan diharapkan akan dapat menyemarakkan lagi hebahan berkaitan dengan ilmu sunah serta menghargai jasa dan pemikiran tokoh dalam dunia persuratan Melayu tanah air dan pembinaan peradaban bangsa,” katanya.

Sebahagian para peserta yang hadir.

Sebanyak dua belas orang ahli panel dan tiga orang moderator daripada pelbagai latar belakang akademik, pengalaman dan pandangan saling berbincang dan berkongsi idea tentang ilmu sunah dalam tiga sesi forum yang bertemakan persaudaraan, keharmonian dan perpaduan, di samping menjawab pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh para peserta.

Foto: Mohd Farid Janudin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.