27 Oktober 2023, 15:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima persembahan zakat perniagaan daripada Bank Kerjasama Rakyat Bagi Tahun 2022 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM242,902 yang disempurnakan di Aras 2, Menara Kembar Bank Rakyat di ibu negara baru-baru ini.

Hadir mewakili pihak Bank Rakyat ialah Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Encik Nizam Sani dan Ketua Pematuhan Syariah, Tuan Haji Mohd Zamerey Abdul Razak.

Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada majlis yang sama, baginda bertitah bahawa (MAIPs) berhasrat untuk menerokai pelaksanaan waqaf syarti (wakaf bersyarat) bagi melaksanakan proses pembangunan wakaf secara bersasar.

Mohd Nazim menjelaskan bahawa wakaf bersyarat yang mengambil kira elemen hasrat bersama antara penyumbang dan MAIPs selaku pemegang amanah tunggal harta wakaf dalam negeri dilihat sebagai satu daripada kaedah untuk merancakkan lagi semangat berwakaf serta usaha menyuburkan pembangunan aset wakaf sedia ada.

“Hasrat bagi menerokai elemen akad kontrak antara pewakaf dengan MAIPs, tempoh masa dan syarat-syarat kerjasama yang sesuai bagi pelaksanaan sesuatu projek wakaf ini disambut baik oleh pihak Bank Kerjasama Rakyat yang sememangnya sentiasa memberikan fokus dan komitmen yang tinggi bagi menyuburkan potensi pengembangan wakaf,” katanya.

Dalam hubungan itu, Mohd Zamerey pula menerangkan bahawa pihak Bank Rakyat akan membantu MAIPs dalam bidang teknikal dan kepakaran perbankan bagi memastikan sesuatu produk wakaf yang dicadangkan dapat dilaksanakan dan direalisasikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.