24 Oktober 2023, 22:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Yayasan Waqaf Malaysia (YMW) melancarkan Bengkel Pemerkasaan Instrumen Wakaf Bertempoh (wakaf al-muaqqat) bagi tujuan pelaksanaan pembangunan di Malaysia semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar berkata bahawa pembangunan wakaf di Malaysia terus diberikan perhatian oleh YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani pada 13 Oktober 2023 yang lalu dengan mengumumkan beberapa inisiatif.

Tambah beliau, inisiatif tersebut ialah peruntukan sebanyak 100 juta ringgit kepada MyCIF bagi tempoh tiga tahun bagi melengkapi kerjasama dengan inisiatif keterjaminan makanan, alam sekitar, masyarakat dan juga Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk membuka peluang pembangunan aset wakaf untuk tujuan kesihatan, pendidikan dan perusahaan asas tani.

“Selain itu, kerajaan juga akan meningkatkan dana kepada 500 juta ringgit untuk pinjaman mudah bagi meningkatkan pembangunan semula tanah-tanah wakaf di seluruh negara,” katanya semasa berucap merasmikan bengkel tersebut sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh YMM semalam.

Menurut beliau, YWM akan bergerak proaktif dalam usaha merangka dan menyusun strategi untuk mengaplikasikan konsep wakaf bertempoh sebagai sumber dana alternatif bagi membangunkan tanah wakaf di seluruh negara dengan pelibatan pihak kerajaan, swasta, korporat, pihak berkepentingan dan masyarakat umum.

Katanya, pembangunan akan memberikan fokus kepada projek berimpak tinggi, berdaya maju dan mampan untuk meningkatkan aset wakaf di seluruh negara, dengan sektor yang berpotensi untuk dimajukan, iaitu kesihatan, pendidikan, perumahan, pertanian (keterjaminan makanan) dan pembangunan ekonomi serta komuniti.

“Pelaksanaan wakaf bertempoh oleh YWM bukannya suatu perkara baharu kerana konsep ini telah diaplikasikan pada tahun 2022 menerusi kerjasama YWM bersama-sama CIMB Islamic Bank Berhad dan Yayasan Belia Malaysia menerusi Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan pembangunan tanah wakaf ini, pelaksanaan konsep pinjaman qardul hassan akan digunakan bagi menebus ataupun membiayai semula projek pembangunan wakaf yang telah siap setelah beroperasi dan telah menjana pendapatan yang konsisten dan pembangunan yang dibangunkan ini adalah secara Private Finance Initiative bagi membolehkan pinjaman dana wakaf dapat dibayar balik.

Katanya, pembiayaan semula ini akan membolehkan pembiaya asal projek tersebut keluar lebih awal, dan kaedah ini akan menjimatkan kos pembiayaan yang akan dipulangkan kembali kepada pengurus dana wakaf dalam bentuk hibah, yang boleh diagihkan untuk kebajikan rakyat.

“Selaras dengan Perlembagaan Malaysia, iaitu urusan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan MAIN merupakan Pemegang Amanah Tunggal harta wakaf di negeri masing-masing, aset wakaf yang telah siap dibina ini akan diserah dan didaftarkan atas nama MAIN dan YWM akan diberikan hak mengurus aset tersebut bagi suatu tempoh yang dipersetujui bersama,” jelas beliau.

Beliau menyeru agar usaha ini mendapat pelibatan semua pihak termasuk sokongan daripada masyarakat amatlah signifikan dalam usaha menjadikan wakaf sebagai penyumbang kepada sektor kewangan sosial Islam di Malaysia, seterusnya membawa kepada wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, YBrs. Dr. Ridzwan Bakar berkata bahawa penganjuran bengkel ini yang menghimpunkan para wakil daripada MAIN, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), pihak berkepentingan seperti Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan wakil perbankan korporat dalam pembangunan wakaf di Malaysia dilihat bertepatan dalam usaha membantu dan memberikan panduan kepada YWM untuk menghasilkan hala tuju pembangunan wakaf di Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing.

Tambahnya, pelaksanaan bengkel ini selaras dengan saranan Jawatankuasa Penasihat Syariah YWM untuk YWM memperhalus semula cadangan pelaksanaan wakaf tunai bertempoh dari sudut praktikal, perundangan dan pentadbiran agar perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan sempurna dan tersusun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.