23 Oktober 2023, 21:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Phnom Penh – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini berkenan berangkat merasmikan Masjid Ibadur Rahman di Chroy Metrey, Wilayah Kandal, Phnom Penh, Cambodia.

Majlis tersebut merupakan anjuran masjid berkenaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia.

Dalam titah ucapan perasmian, baginda tuanku menitahkan agar institusi agama, khususnya di Perlis supaya terus memainkan peranan masing-masing bagi mengimarahkan masjid mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Pihak masjid juga digalakkan untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik seperti sukan dan riadah bagi menarik minat semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan jantina.

“Secara tidak langsung mereka dapat menunaikan solat fardu secara berjemaah dan berazam untuk datang lagi ke masjid.

“Memakmurkan masjid dengan menunaikan solat fardu dan ibadat iktikaf merupakan sebahagian daripada tanda keimanan seseorang,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah merasmikan Masjid Ibadur Rahman di Chroy Metrey, Wilayah Kandal, Phnom Penh, Cambodia.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Cambodia, Oknha Haji Kamaruddin Yusof; Setiausaha Kementerian Agama Cambodia, Yob Ahskary; dan Naib Presiden Koperasi Muslim Cambodia, Him Komry.

Hadir sama ialah Duta Besar Malaysia ke Cambodia, TYT Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Baginda tuanku Raja Muda Perlis ketika menyempurnakan upacara perasmian Masjid Ibadur Rahman.

Yob Ahskary dalam ucapannya merakamkan ribuan terima kasih atas sumbangan besar Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia bersama-sama MAIPs dan juga beberapa lagi rakan strategik kerana menyediakan dana secukupnya bagi menyiapkan kerja pengubahsuaian dan naik taraf masjid tersebut.

Turut disalurkan ialah sumbangan tunai kepada sebanyak 151 orang anak yatim dan beberapa projek sampingan yang lain lagi.

Him Komry pula memaklumkan bahawa koperasi mereka memerlukan bantuan dana bagi menjayakan sebuah Projek Pembinaan Sekolah Perempuan (Maahad al-Banat) sebagai institusi pendidikan Islam secara perintis yang menggabungkan kurikulum pendidikan Islam dan juga akademik biasa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga turut berkenan untuk menyaksikan pengislaman 20 orang saudara Islam baharu dalam majlis tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.