Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Persatuan Intelektual Muslim Malaysia (PIMM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Seminar Antarabangsa Ilmu Wahyu dan Turath (SIWAT) Ke-5 bagi memberikan peluang kepada semua pihak untuk berbincang dan mewacanakan pelbagai aspek ilmu berkenaan dengan ilmu wahyu dan turath.
Seminar yang bertemakan “Transformasi Pendidikan al-Quran dan al-Sunah Menerobos Cabaran Masa Depan” ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 19-20 Oktober 2023 bertempat di UKM, Bangi Selangor.
Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohamad Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed berkata bahawa tema SIWAT Ke-5 pada kali ini bersesuaian dengan agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sedang melaksanakan pelbagai program berkenaan dengan karamah insaniah.
“Memang terdapat banyak orang yang berilmu dalam kalangan masyarakat sekarang, tetapi tidak kurang juga yang dilihat tidak beradab.
“Perkara inilah yang perlu diteliti bagi mendepani cabaran akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup SIWAT Ke-5 di Bilik Mesyuarat Bitara, Fakulti Pengajian Islam UKM pagi tadi.
Menurutnya, visi UKM juga menjadi penanda aras dalam persediaan untuk menghadapi cabaran yang lebih meluas dalam pelbagai peringkat dan lapangan pada masa hadapan.
“Setiap kali kita membincangkan tentang soal masa hadapan, pastinya kita akan turut memikirkan tentang cabaran yang semakin mencabar, maka aspek nilai perlu diberikan keutamaan,” katanya.
Beliau berharap setiap isu yang dibincangkan dalam SIWAT Ke-5 dapat memberikan nilai manfaat yang berterusan dan akan ada peningkatan dari segi pengeluaran artikel dan jurnal yang lebih komprehensif dan terbuka, serta tertumpu pada situasi dan cabaran masa ini.
Sementara itu, Dr. Fadlan Mohd Othman selaku pengarah seminar berkata bahawa SIWAT Ke-5 menyokong usaha untuk merealisasikan hala tuju UKM sebagai universiti penyelidikan dengan memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran ilmu turath islami dan penyelidikan yang berkaitan dengan al-Quran dan sunah.
Sebanyak empat ucap utama dan 59 kertas kerja telah dibentangkan oleh para ahli akademik, pelajar siswazah dan cendekiawan yang berkongsi hasil penyelidikan mereka berkaitan dengan pelbagai subtema seperti pendidikan al-Quran dan sunah, pendidikan Islam, penciptaan inovatif dalam pendidikan al-Quran dan sunah, teknologi digital dalam pengajian al-Quran dan sunah, teknologi digital dalam Pengajian Pengajian Islam, isu kontemporari Islam, pendidikan generasi madani dan ilmu turath islami.