Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT ayat pertama Surah al-Isra’:
Maksudnya: “Maha Suci Allah, yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidilaqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Bumi Palestin merupakan tanah suci umat Islam yang dikaitkan dengan sejarah para rasul dan nabi, dan memberikan makna yang mendalam dalam sanubari umat Islam. Ayat pertama Surah al-Isra’ tersebut menunjukkan betapa Islam mengangkat kemuliaan Masjidilaqsa dan bumi Palestin yang dilimpahi keberkatan Ilahi. Terdapat banyak ayat al-Quran yang mengiktiraf keberkatan bumi Palestin kerana di situlah tempat kelahiran para nabi, tanah yang diberkati serta berlangsungnya dakwah tauhid melalui kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Sulaiman dan Nabi Musa a.s.
Masjidilaqsa dipilih oleh Allah SWT menjadi tempat persinggahan Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj untuk Baginda mengimamkan solat bersama-sama sekalian para rasul. Sebelum umat Islam berkiblatkan Kaabah di Makkah, Masjidilaqsa merupakan kiblat pertama umat Islam. Berpandukan sabda Rasulullah SAW, Masjidilaqsa ialah masjid ketiga termulia kedudukannya;
Maksudnya: “Tidak dituntut melakukan perjalanan yang jauh, melainkan ke tiga buah masjid, iaitu Masjidilharam, masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidilaqsa.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pada tarikh 14 Mei 1948, negara Israel yang dirancang oleh Yahudi Zionis, ditubuhkan di bumi Palestin. Sejak penubuhan negara Israel, pelbagai bentuk kekejaman dilakukan oleh pemerintahan Israel terhadap rakyat Palestin termasuklah merampas tanah milik rakyat Palestin. Serangan demi serangan dilakukan dengan penggunaan pelbagai senjata pemusnahan mengakibatkan bumi yang didiami oleh rakyat Palestin menghadapi kemusnahan rumah kediaman, masjid, sekolah, hospital dan pelbagai kemudahan awam lain. Perbuatan zalim dan tidak berperikemanusiaan pemerintahan Israel telah mengakibatkan banyak warga Palestin, termasuk warga tua, wanita dan kanak-kanak mengalami kecederaan dan terbunuh.
Rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencatatkan bahawa dari tahun 2008 hingga Ogos 2023, lebih enam ribu empat ratus orang rakyat Palestin terkorban, manakala lebih 153 ribu tercedera. Rakyat Palestin turut ditahan di dalam penjara. Ada yang diusir, lalu terpaksa membawa diri menagih ihsan di negara lain, dan hidup sebagai pelarian dengan serba kedaifan Hinga kini hampir enam juta orang rakyat Palestin menjadi mangsa pelarian.
Masjidilaqsa dikawal sepenuhnya oleh tentera Israel. Walaupun pada zahirnya umat Islam dibenarkan melakukan ibadat di masjid tersebut, namun hakikatnya pelbagai gangguan dilakukan oleh tentera Israel ketika umat Islam melakukan ibadat. Sifat angkuh Israel lebih tertera apabila tanah suci Baitulmuqaddis dinamakan sebagai ibu negara mereka.
Islam menyanjung tinggi nilai kemanusiaan. Sebarang bentuk kezaliman yang merobek nilai kemanusiaan tidak boleh diterima. Segala perbuatan yang menimpa umat Islam Palestin merupakan jenayah yang melanggar hak asasi manusia serta melampaui batas kemanusiaan. Derita yang menimpa umat Islam Palestin seharusnya diinsafi dan wajib dijadikan pengajaran oleh umat Islam. Puluhan tahun umat Islam di Palestin menanggung kesengsaraan dan penderitaan, hidup menghadapi tekanan dan dalam ketakutan, malah banyak yang kehilangan orang tersayang. Ketika umat Islam dikurniakan nikmat keamanan dan berpeluang menjalani kehidupan yang sejahtera, nasib malang yang menimpa saudara seakidah di bumi Palestin wajib diambil peduli dan dibela. Umat Islam mempunyai tanggungjawab fardu kifayah, iaitu tanggungjawab kemanusiaan untuk tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan penderitaan yang sedang dihadapi oleh umat Islam berpandukan sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selama 75 tahun rakyat Palestin ditindas, menjalani kehidupan bagaikan berada di dalam penjara, dikelilingi tembok dan diawasi oleh tentera Israel. Kebebasan mereka untuk hidup sebagai rakyat yang merdeka dinafikan, pelbagai bantuan dan keperluan hidup mereka disekat, dan pelbagai bakat yang dimiliki oleh anak-anak di bumi Palestin tidak dapat berkembang. Sekalipun begitu, mereka tetap teguh, tidak berganjak untuk meninggalkan bumi Palestin dan cekal mempertahankan kesucian Masjidilaqsa. Mereka penuh yakin bahawa pembebasan bumi suci itu ialah janji Ilahi yang pasti tiba.
Malaysia merupakan antara negara yang sentiasa mendukung kebebasan dan kemerdekaan rakyat Palestin. Di samping kerajaan, terdapat pelbagai badan bukan kerajaan yang beroperasi menyalurkan bantuan dan khidmat kemanusiaan, seperti menyediakan kelengkapan kanak-kanak, keperluan harian, baik pulih bangunan, ubat-ubatan, pakaian, makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain. Bantuan sebegini merupakan satu daripada amalan fardu kifayah yang amat digalakkan.
Yang berikut merupakan saranan untuk dilakukan oleh umat Islam:
Pertama: Menyelami dan berusaha untuk memahami tragedi yang sedang berlaku dan ujian yang dialami oleh umat Islam di bumi Palestin untuk dijadikan pengajaran agar umat Islam tampil ke hadapan memikirkan tindakan yang dapat membantu mereka.
Kedua: Masjidilaqsa ialah masjid ketiga termulia di bumi Allah. Oleh itu, mempertahankan dan menyelamatkan Masjidilaqsa merupakan tanggungjawab keagamaan.
Ketiga: Umat Islam baik yang kaya mahupun yang miskin hendaklah melakukan pengorbanan dan membantu rakyat di bumi Palestin dengan menghulurkan sumbangan melalui pertubuhan misi kemanusiaan yang berdaftar dan dipercayai. Sumbangan juga boleh terus disalurkan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Palestin di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri.
Keempat: Pemimpin, umat Islam dan negara Islam wajib bersatu pendirian mendukung usaha membela rakyat Palestin dan bersatu suara menolak perbuatan zalim Yahudi Zionis.
Kelima: Doa merupakan senjata terkuat orang beriman yang dipohon terus kepada Allah SWT. Umat Islam perlu berterusan berdoa semoga Allah SWT memberikan kekuatan, perlindungan dan pembelaan terhadap kumpulan yang dizalimi. Umat Islam juga dianjurkan membaca doa qunut nazilah agar Allah SWT memberikan keadilan kepada rakyat Palestin serta menimpakan pembalasan hukuman kepada pihak yang melakukan kezaliman.
Oleh itu, umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Lindungi Masjidilaqsa dan Palestin daripada cengkaman Yahudi Zionis. Makbulkan doa, rintihan dan munajat umat Islam untuk Palestin. Ringankan penderitaan rakyat Palestin dan gantikannya dengan kebaikan. Limpahi rahmat-Mu kepada hamba-Mu dan ahli keluarga mereka yang telah syahid, terkorban mempertahankan bumi Palestin.
Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, “Palestin dan Nilai Kemanusiaan”, 20 Oktober 2023, Jabatan Agama Islam Perak)