18 Oktober 2023, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah membangunkan Pelan Digitalisasi MAIPs 2023-2027 bagi memastikan agensi ini bersedia untuk memainkan peranan sebagai pemegang amanah umat Islam yang selari dengan keperluan semasa.

“Matlamat utama pelan ini adalah untuk memperkukuh lagi proses kerja melalui transformasi digital dalam pentadbiran dan perkhidmatan MAIPs dalam pengurusan hal ehwal Islam di negeri Perlis selari dengan dinamika dunia teknologi maklumat.

“Pelan jangka masa panjang ini juga bertujuan untuk memastikan kelangsungan pengurusan MAIPs melalui pendekatan digitalisasi perkhidmatan kepada warga Perlis dan juga pemegang taruh MAIPs supaya lebih cemerlang,” titah baginda.

Menurut baginda lagi, usaha menaik taraf infrastruktur teknologi, meningkatkan kebolehan modal insan dan mengemas kini proses yang disarankan dalam kerangka kerja ini pasti membawa perubahan yang perlu diurus secara berterusan.

Baginda beritah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program MAIPs Peduli di Masjid Al-Hasyimi, Long Boh, Kangar baru-baru ini.

Tuanku Raja Muda Perlis menyampaikan agihan sumbangan zakat kepada asnaf terpilih dalam Program MAIPs Peduli di Masjid Al-Hasyimi, Long Boh, Kangar .

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs baru-baru ini telah berkenan melancarkan Sistem Bayaran dalam Talian melalui laman portal rasmi www.maips.gov.my yang terkini.

Antara keistimewaan sistem berkenaan termasuklah meluaskan bayaran wakaf, sumber am, sedekah termasuk bayaran sewaan premis MAIPs selain turut dimantapkan dengan platform gerbang pembayaran dalam talian yang tidak hanya terikat kepada medium fpx, tetapi dikembangkan melalui sistem bayaran kad debit, serta melalui aplikasi Touch ‘n Go, Grab Pay, Boost, Duit Now QR, dan Shoppe Pay.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 140 orang anak kariah Masjid Nurul Muttaqin Che Ok dan Masjid Al-Azhar Kampung Tebuk dalam kalangan asnaf terpilih menerima agihan zakat MAIPs sebanyak RM700 seorang yang jumlah keseluruhannya bernilai RM98,000.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.