17 Oktober 2023, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menyerahkan Tauliah Kebenaran Mendirikan Solat Jumaat dan Pengimarahan kepada Masjid Nurus Said Santan, Kangar baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan majlis penyerahan tauliah tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah JAIPs, Muhammad Hafeez Abu Seman kepada imam masjid berkenaan, Haji Ahmad Kamil Haji Ibrahim.

Masjid Nurus Said baru sahaja digunakan semula setelah menjalani baik pulih bermula Januari 2022 yang lalu.

Mengiringi Tuanku Raja Muda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Mohd Nazim memaklumkan bahawa MAIPs pada Persidangan Mesyuarat Majlis Bilangan Ke-5 bertarikh 2 Oktober 2023 yang dipengerusikan oleh Tuanku Raja Muda telah bersetuju untuk memberikan kebenaran kepada masjid berkenaan untuk mengadakan semula solat Jumaat dan melaksanakan aktiviti pengimarahan di bangunan berkenaan apabila telah disiapkan dengan sempurna.

Raja Muda Perlis menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada kariah Masjid Nurus Said Santan.

Hal tersebut dibenarkan dengan syarat dilaksanakan oleh imam yang dilantik oleh MAIPs dengan mematuhi garis panduan dan fatwa yang dikeluarkan oleh MAIPs serta teks khutbah Jumaat mengikut teks yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak JAIPs.

Majlis tersebut diadakan sempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-17 bagi tahun 2023. Seramai 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra berjumlah RM400 setiap seorang dengan jumlah penuh RM8000.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.